KEADAAN kepala mangsa yang cedera akibat dipukul penyamun. FOTO Nor Raidah Awang
Nor Raidah Awang


Selama: Seorang lelaki cedera di kepala akibat dipukul penyamun bersenjatakan parang dan pisau yang turut mengikat mangsa serta tujuh ahli keluarganya dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Titi Ijok di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, mangsa berusia 20-an dipukul oleh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya ketika mangsa dan ahli keluarga masih tidur.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, mangsa terdengar bunyi biliknya dibuka dan sebaik bangun ternampak dua lelaki bertopeng mengarahkan agar mangsa tidak membuat bising.

"Mangsa bersama isteri, anak, ibu, bapa dan tiga anak saudara kemudian dibawa ke ruang tamu rumah sebelum kesemua mangsa diikat menggunakan wayar dan ditutup mulut dengan kain.

"Suspek kemudian memukul kesemua mangsa dengan kayu dan mengugut untuk 'potong' mereka dengan pisau dan sebilah parang jika tak dapat barang kemas dan duit," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dua suspek berkenaan menyelongkar semua bilik dan mengambil empat cincin emas, dua tali kahwin berkalung emas, wang tunai RM500.

"Penyamun berkenaan kemudian terus melarikan diri dengan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger dengan seorang lagi suspek yang sudah menunggu dalam kenderaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 12:42 PM