Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini PKS menyumbang 35 peratus kepada KDNK iaitu daripada RM1.2 trilion dan majoriti PKS adalah perusahaan mikro.

Katanya, salah satu faktor negara maju apabila banyak usahawan terdiri daripada PKS yang naik dengan begitu mendadak.

“PKS adalah faktor utama bagi mengembangkan ekonomi negara dan kita mahu lebih ramai usahawan mikro dilahirkan kerana mereka yang akan berkembang menjadi PKS seterusnya membuka peluang pekerjaan.

“Malah, 65 peratus dunia pekerjaan di negara ini disumbangkan oleh PKS dan kerajaan komited memperuntukkan dana untuk agensi terbabit menyalurkannya kepada usahawan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Pentas Usahawan (PPU) Fasa 2 di sini, semalam.

PPU adalah anjuran Persatuan Alumni Pusat Pembelajaran Usahawan Bumiputera Maju Malaysia (PPIUB) dan disokong TEKUN Nasional menerusi produk pembiayaan Teman Tekun untuk membantu peniaga kecil dan sederhana.

Johari berkata, fasa kedua ini RM1 juta diperuntukkan TEKUN Nasional bagi 100 usahawan dan setiap seorang akan menerima pembiayaan RM10,000 untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, usahawan yang sudah menerima pembiayaan juga perlu mempunyai disiplin membuat pembayaran semula.

“Jika rekod pembayaran semula bagus, sudah tentu usahawan dapat menambah jumlah pembiayaan mereka lebih RM50,000 seterusnya RM100,000 dan jika memerlukan jumlah lebih besar selain TEKUN Nasional, kita juga ada SME Bank,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPIUB, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, pembiayaan Teman Tekun ini diperkenalkan yang mana setiap peserta diminta mewujudkan lima orang dalam satu kumpulan dan pihaknya bertindak sebagai mediator untuk urusan antara peserta ini dan TEKUN Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 8:31 AM