ABDUL Taib menyampaikan Ijazah Kehormat kepada Alfred Jabu. FOTO Che Rani Che Din
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kota Samarahan: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-20 mencatat sejarah baru apabila melahirkan graduan teramai iaitu seramai 4,275 yang akan menerima ijazah masing-masing bermula hari ini hingga Khamis.

Seramai 3,871 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, 337 penerima Ijazah Sarjana dan 67 penerima Doktor Falsafah (PhD) dalam empat sidang di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) UNIMAS.

Pada konvokesyen ini, UNIMAS turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Transformasi Komuniti Luar Bandar kepada Pro Canselor UNIMAS, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pengiystiharan majlis konvokesyen disempurnakan Canselor UNIMAS, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi dalam ucapannya mengingatkan alumni supaya terbabit dalam menyokong dan memberi sumbangan semula kepada universiti demi mengekalkan serta mengukuhkan pembangunan universiti.

Menurutnya, alumni boleh berkongsi pengalaman dengan universiti dan memperkayakan pembelajaran mahasiswa yang masih menuntut di universiti.

"Setiap alumni pastinya mempunyai pengalaman unik dan berbeza, justeru mempunyai potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada universiti dalam cara dan skala yang bermanfaat.

"Alumni akan terus membantu memperkukuhkan lagi keyakinan, menyalurkan semangat dan menyemai budaya intelektual seperti yang diinginkan oleh universiti," katanya.

Katanya, alumni boleh menyumbang kepada program Wakaf UNIMAS bagi menyokong aktiviti penuntut yang memerlukan bantuan kewangan serta sokongan intelek yang dijalankan di peringkat fakulti dan aktiviti lain yang signifikasi akan menyumbang dalam mencapai visi UNIMAS.

"Dana wakaf ini membolehkanpenganjuran program akademik terkemuka, selain menyumbang kepada penemuan penyelidikan saintifik dan melahirkan profesor dalam pelbagai kepakaran akademik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 4:34 PM