Pemain Malaysia Darren Lok (tengah) mengasak penjaga gol Papua New Guinea, Ronald Warisan. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Pemain Malaysia Darren Lok (tengah) mengasak penjaga gol Papua New Guinea, Ronald Warisan. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Aziman Rosdi


Shah Alam: Skuad Harimau Malaysia mendapat tonik terbaik menjelang saingan Piala AFF 2016 di Yangon Ahad ini apabila menewaskan Papua New Guinea (PNG) 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, hari ini.

Kemenangan pada aksi pemanas badan terakhir sebelum berlepas ke Yangon Rabu ini amat ditagih buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang tewas 0-2 pada pertemuan siri Jelajah Oceania Jun lalu di Port Moresby.

Bagaimanapun kemenangan pertama Harimau Malaysia dalam lima perlawanan itu bukan mudah apabila mereka terpaksa bangkit dengan dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Amri Yahyah pada setiap babak.

Dalam aksi yang disaksikan 5,000 penyokong, Malaysia dikejutkan dengan jaringan PNG menerusi rembatan penyerang Nigel Dabinyaba pada minit ke-6 selepas pemain pertahanan Shahrul Saad gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila anak buah Kim Swee bangkit menyamakan kedudukan 1-1 berpunca gerakan menari satu-dua Irfan Fazail dan Darren Lok yang kemudian disudahkan dengan rembatan menarik penyerang Hazwan pada minit ke-21.

Padang basah sedikit menyukarkan pergerakan pemain namun pasukan tuan rumah hampir menambah jaringan hasil serangan pantas dari sebelah kiri oleh Darren tapi kali ini bola hantarannya dirembat liar oleh Hazwan di minit ke-34.

PNG yang menduduki ranking ke-159 dunia berbanding Malaysia 164 berpeluang untuk menghukum kelemahan pertahanan negara apabila Tommy Semmy berjaya meloloskan diri, mujur sepakannya ketika berdepan penjaga gol Khairul Azhan Khalid singgah di tepi jaring.

Dua minit babak kedua bersambung, Harimau Malaysia kembali di depan selepas kapten Amri tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas Darren dikasari pertahanan Alwin Komolong.

Kim Swee akan menamakan 23 pemain terakhir dalam skuadnya esok sebelum berlepas ke Yangon Rabu ini bagi kempen Kumpulan B Piala AFF menentang Kemboja, Vietnam dan Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:42 PM