X
MARATON jadi medan untuk wanita Afghanistan benar-benar rasai kebebasan. - Gambar AFP
MARATON jadi medan untuk wanita Afghanistan benar-benar rasai kebebasan. - Gambar AFP
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Atlet wanita bertudung yang menyertai pertandingan larian pertama di Afghanistan - dengan laluan berpasir, kering dan berlatarbelakangkan pemandangan pergunungan indah - tidak mencari kemenangan.

Sebaliknya pembabitan mereka dalam maraton pertama antarabangsa yang terbuka untuk lelaki dan perempuan itu adalah bagi ‘merasai’ kebebasan.

Seramai 15 atlet wanita termasuk enam warga Afghanistan dan seorang dari Iran bersama-sama memulakan larian dengan peserta lelaki meredah cuaca dingin musim luruh dari kawasan lembah yang satu ketika dulu pernah menjadi lokasi teduhan patung Buddha gergasi, tetapi diletupkan oleh Taliban pada 2001.

Walaupun diberikan kemeja-T putih yang longgar, tetapi Nilofar, 21, siswa perubatan tahun pertama dari Mazar-i-Sharif tetap berasa kurang selesa kerana dia biasanya berlatih dengan memakai legging dan baju labuh melepasi lutut.

Bagaimanapun dia suka dengan aktiviti sukan itu.

“Berlari memberi saya kebebasan,” katanya kepada wartawan AFP.

Lebih 100 atlet tempatan dan dari negara luar menyertai maraton yang julung kali diadakan di Bamiyan. Masing-masing cuba menyudahkan larian sejauh 42 kilometer yang bermula dan berakhir di gua Buddha yang terkenal itu.

Larian berkenaan dianjurkan buat tahun kedua oleh dua lelaki Inggeris iaitu James Bingham dan James Willcox bukan sekadar menunjukkan kejayaan mereka mengadakan aktiviti sukan di Afghanistan yang hampir musnah dek konflik.

Malah, ia juga menjadi lambang kebebasan kerana di negara Islam konservatif itu, penyertaan wanita dalam aktiviti sukan seperti berlari di tempat awam lihat sebagai satu tindakan yang bertentangan dengan adab dan budaya.

Bamiyan terletak di kawasan tanah tinggi Afghanistan adalah kawasan yang boleh dianggap tenang kerana ia biasanya ‘terlepas’ daripada konflik yang berlaku di seluruh negara itu. Tidak hairanlah jika ia menjadi medan paling tepat dan sesuai untuk atlet wanita seperti Nilofar berlatih sepuas hati.

“Di Mazar-i-Sharif, saya berlatih berlari di taman dengan mendapat keizinan pihak berkuasa tempatan yang banyak memberi sokongan kepada kami. Namun saya tidak boleh berlari di jalanan,” katanya.

Atlet wanita lain turut berhadapan dengan kekangan yang sama. Samana yang berusia 18 tahun berkata, di Kabul dia hanya boleh berlari di kawasan kejiranan sebelum Subuh menjelang iaitu ketika kawasan itu ‘terasing’ daripada pandangan masyarakat.

Namun Nilofar yang menyertai pertandingan larian di Kabul pada musim panas tahun lalu mempunyai pengalaman pahit kerana dia menerima banyak gangguan dari penduduk yang kurang senang melihat wanita terbabit dalam sukan.

“Saya menyertai larian itu bersama tiga rakan perempuan. Namun sepanjang larian bermacam halangan yang kami terima. Orang lalu lalang asyik mengganggu dan cuba melakukan perkara yang tidak elok. Manakala pemandu kereta sengaja menghalang laluan kami.

“Mereka melihat wanita yang berlari di tempat awam sebagai orang gila. Mujurlah dua pelari lelaki tempatan sentiasa yang menyedari perkara itu segera menghampiri kami dan berlari menemani kami sehingga tamat pertandingan,” sambungnya.

Bagaimanapun di Bamiyan tidak berlaku perkara yang tidak diingini itu. Peserta boleh berlari dengan bebas dan selesa sambil menikmati pemandangan indah. Bahkan petani yang agak terkejut dengan kehadiran atlet pelbagai negara juga memberikan senyuman mesra. Hanya sesekali ternakan seperti lembu melintas laluan yang membuatkan larian mereka terhenti seketika.

Mahu jadi perintis

Pembabitan wanita dalam dunia sukan khususnya aktiviti larian yang dilakukan di tempat terbuka masih menjadi perkara ‘pelik’ dan asing bagi kebanyakan penduduk Afghanistan. Wanita yang terbabit dalam sukan larian ini berdepan dengan pelbagai risiko keselamatan.

“Berlari ini banyak risikonya kerana kadang-kala kami dipukul. Masyarakat masih belum biasa melihat wanita berlari. Walaupun banyak risiko tetapi saya tetap mahu meneruskan aktiviti ini sebagai pembuka laluan untuk wanita lain pada masa akan datang.

“Dalam masa dua atau tiga tahun, apabila selalu melihat wanita berlari di tempat umum, masyarakat akan bersikap lebih terbuka,” kata Kubra, atlet muda dari Kabul.

Kubra menyertai maraton selepas dirangsang oleh Cornelia Schneider dari Free To Run, satu organisasi yang membantu wanita dan kanak-kanak perempuan di kawasan dilanda konflik dan peperangan.

Ketika maraton, Kubra berlari bergandingan dengan Martin Parnell, bintang dari Kanada berusia 60-an yang terkenal sebagai atlet pemecah rekod termasuk kemampuannya berlari dalam 250 maraton setahun.

Tidak mudah sebenarnya untuk berlari di Damiyan. Lembah itu berada pada ketinggian 2,500 meter dari paras laut dan pelari terpaksa meredah laluan berbukit setinggi 3,000 meter. Sesetengah pelari tidak mempunyai cukup masa untuk mengadaptasi dengan ketinggian seperti itu.

Mahsa Torabi dari Iran antara atlet yang tercungap-cungap untuk menghabiskan larian. April lalu dia menjadi wanita Iran pertama yang berjaya menamatkan maraton di bandar Shiraz sejak 1979. Atlet berusia 42 tahun itu kini berharap dapat mengadakan maraton campur di Tehran pada musim bunga akan datang.

“Saya mahu menguji diri sendiri selain menunjukkan bahawa wanita Muslim juga boleh dan mampu berlari dalam maraton. Saya mahu beritahu wanita lain bahawa: Anda boleh lakukannya!” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 5:29 AM