AMBAK (kanan) menunjukkan isi buah kempas.
AMBAK (kanan) menunjukkan isi buah kempas.

Keledang temponek atau buah kempas diyakini antara buah hutan yang kian pupus, tetapi kini semakin popular selepas pokok hutan yang berusia lebih 25 tahun itu berbuah lebat dan menjadi viral di laman Facebook sejak akhir-akhir ini.

Sekilas pandang kulitnya berduri seakan-akan durian, tetapi isinya sama seperti cempedak. Namun, rasanya masam dan manis lebih mirip buah gelugur yang digunakan untuk membuat asam keping.

Lebih menarik apabila pokok buah kempas tunggal di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Terengganu itu bukan ditanam penduduk, tetapi ia tumbuh liar serta menghasilkan banyak buah sehingga menjadi tumpuan.

Pokok buah kempas itu hidup di hutan, tumbuh liar di kawasan hutan berdekatan dengan sungai dan biasanya menjadi makanan asasi haiwan liar, selain kegemaran kanak-kanak yang suka mandi sungai di kawasan hutan.

Buah kempas unik kerana keenakan rasanya. Ia menjadi kegemaran orang ramai seterusnya mendapat permintaan tinggi seperti buahan bermusim yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit, Wan Ambak Ismail, berkata buah kempas itu memang popular dalam kalangan penduduk kampung era 60 hingga 80-an, namun ia kini semakin pupus kerana tidak dipelihara dan diusahakan seperti tanaman lain.

“Orang yang pernah merasainya pasti teringin untuk merasainya lagi. Tidak hairan ada penduduk dari daerah lain datang ke sini membelinya dengan kuantiti yang banyak iaitu 10 hingga 15 kilogram dengan harga RM5 sebiji.

“Buah kempas itu memang kelihatan seperti durian kerana kulitnya berduri, namun lebih kecil berbanding durian. Ia tidak perlu ditunggu untuk luruh seperti durian dan perlu khidmat seorang pemanjat yang berkebolehan untuk memetiknya.

“Bukan semua pemanjat yang mampu memetik buah kempas pada pokok setinggi 20 meter itu kerana ia berada di julai atau ranting pokok yang sememangnya membahayakan keselamatan pemanjat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memelihara pokok buah kempas itu sebaik mungkin bagi memastikan ia terus hidup dan menjadi tatapan generasi sekarang dan akan datang kerana jangka hayatnya mampu mencecah 100 tahun sekiranya dijaga baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 5:50 AM