Nor Akmar Samudin

[email protected].

Priyanka Chopra antara artis yang menerima bayaran tertinggi di Bollywood dan kini berjaya mencipta nama di Hollywood. Khabarnya dia akan membeli kediaman di Amerika Syarikat (AS) memandangkan lebih banyak berada di negara itu bagi menjalani penggambaran drama, filem dan memenuhi pelbagai undangan.

Pada pandangan mata kasar, dia memiliki kehidupan yang sangat sempurna melainkan belum berumah tangga. Perkara itu merunsingkan ibunya, Madhu Chopra.

Masakan tidak, Priyanka sudah berusia 34 tahun dan ramai rakan sebaya sudah berkahwin dan beranak pinak.

Bagaimanapun, apabila Madhu mengajukan perkara itu kepadanya, Priyanka ada jawapan yang melegakan ibunya.

Jelas Priyanka, dia kini bahagia dan tidak mahu perkahwinan membuatkannya bersedih. Sebagai ibu tentu saja Madhu mahu melihat Priyanka gembira dan tidak lagi mendesak pelakon itu segera mencari pasangan hidup.

“Priyanka meyakinkan saya dia bahagia sekarang dan jika berkahwin dia tak pasti keadaannya macam mana. Jadi katanya kepada saya, biarlah dia dengan kehidupan sekarang. Selepas mendengar kata-katanya saya tidak bimbang lagi kerana apa yang penting dia bahagia,” kata Madhu.

Priyanka rapat dengan mendiang bapanya, Dr Ashok Chopra tetapi pada masa sama dia menyayangi Madhu dan sepanjang kesibukan dengan kerjaya lakonan di Bollywood serta Hollywood, ibunya itu menguruskan syarikat produksi miliknya, Purple Pebble Productions.

Jika tidak berlakon, Priyanka sibuk sebagai penerbit filem. Antara filem terbitan syarikatnya adalah Marathi dan Punjabi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 10:02 AM