Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Pengasas Vida Beauty Datuk Seri Hasmiza Othman akan menghantar wakil kepada pihak pendakwaan atas 32 pertuduhan gagal kemuka penyata dan bayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.2 juta bagi tempoh April 2015 hingga Julai 2016.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, Khairil Azwar Khalil pada sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Raja Rozela Raja Toran sebelum itu memberitahu mahkamah pihak pendakwaan sudah bersedia untuk perbicaraan kes terbabit selepas tertuduh kekal dengan pengakuan tidak bersalah.

Hakim Murtazadi Amran bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan 15 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Pada 13 Oktober lalu, Hasmiza yang juga pemilik tunggal Syarikat Vida Beauty didakwa atas 16 pertuduhan mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 kerana gagal mengemukakan penyata GST dalam tempoh ditetapkan itu.

Manakala 16 lagi pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 kerana gagal membayar GST dikenakan terhadapnya dalam tempoh masa ditetapkan bagi April 2015 hingga Julai 2016.

Murtazadi kemudiannya membenarkan Hasmiza diikat jamin RM50,000 bagi setiap pertuduhan gagal mengemukakan penyata dan RM60,000 bagi setiap pertuduhan gagal membayar cukai dengan seorang penjamin termasuk menyerahkan pasport antarabangsanya sebelum menetapkan hari ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 11:55 AM
Datuk Seri Vida hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini untuk sebutan semula kes berhubung 32 pertuduhan kerana gagal membayar GST berjumlah RM4.2 juta.