Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor merampas 1,250 karton rokok seludup dari negara jiran, Thailand yang dianggarkan bernilai RM56,250, hari ini.
Menurut Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, rampasan itu dibuat dalam satu serbuan di pangkalan haram Pak Su Roni, Simpangan, di sini kira-kira 7.30 pagi.
Katanya, pihaknya sebelum itu melakukan risikan di kawasan terbabit sebelum melihat aktiviti mencurigakan berlaku di tebing Sungai Golok.
"Anggota melihat sebuah bot pancung bersama empat lelaki baru selesai memunggah sejumlah kotak di tebing pengkalan haram itu dan dalam perjalanan ke arah Thailand.
"Curiga dengan keadaan itu, pihaknya melakukan serbuan dan pemeriksaan lanjut menemui 25 kotak penuh dengan rokok jenama Zon King yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menunggu sehingga 20 minit dan melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan itu sebelum membawa pulang semua kotak rokok berkenaan.
Katanya, rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.