FOTO Arkib NSTP


Muar: Seramai 18,830 pengedar dadah ditahan bermula awal tahun ini hingga 13 November lalu membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM172.80 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, semua pengedar dadah itu antara 177,755 individu ditahan termasuk 44,962 orang yang memiliki dadah dan 113,963 penagih dadah.

"Semua tahanan itu membabitkan 162,340 kes dalam tempoh sama.

"Lebih menyedihkan, daripada jumlah itu seramai 690 adalah pelajar sekolah menengah dan penuntut institut pengajian tinggi.

"Sebanyak 25 jenis dadah dirampas dengan daun ketum adalah jenis dadah paling banyak dirampas iaitu 37,122.88 kilogram (kg), diikuti ganja (2,670.03 kg), cecair syabu (1,134.60 kg) dan syabu kristal (624.71 kg)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Saya Benci Dadah, Peranan Belia dan Masyarakat Memerangi Dadah di Sekolah Tinggi Chung Hwa, Muar, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Johor) Datuk Freddie Long dan Timbalan Ketua Polis daerah Muar, Superintendan Ashmon Bajah.

Mohd Mokhtar berkata, pada sama sama pihaknya merampas sebanyak 115 pelbagai jenis senjata termasuk 41 pistol, 37 senapang angin dan 19 senapang buatan sendiri selain 1,262 peluru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 2:26 PM