Pemangku Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob.


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Komunikasi) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Fauzi Ayob dilantik sebagai pemangku Ketua Pengarah FINAS berkuatkuasa Isnin lalu.

Pelantikan itu dibuat Kementerian Komunikasi dan Multimedia berikutan kontrak Ketua Pengarahnya sebelum ini, Datuk Kamil Othman berakhir 9 November lalu.

Fauzi berkata, beliau akan memikul tanggungjawab itu sehingga kekosongan jawatan terbabit diisi.

Menurut Fauzi, fokus utamanya kini ialah meneruskan segala perancangan yang sudah diatur Kamil selain mengharapkan sokongan padu daripada penggiat filem untuk terus memartabatkan industri perfileman tempatan.

“Buat masa ini, fokus sepanjang tempoh memangku tugas ini adalah meneruskan segala perancangan, transformasi dan hala tuju yang sudah dirancang Ketua Pengarah sebelum ini.

“Saya mewakili Finas mengharapkan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama kami dalam meneruskan agenda pembangunan industri perfileman yang sudah dirancang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 6:38 PM