ANGGOTA PPM memeriksa Proton Saga digunakan penyeludup petrol. FOTO ihsan PPM
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 600 liter petrol dan 129 paket minyak masak yang cuba diseludup ke Thailand pada dua serbuan berasingan di Pengkalan Kubor di sini, pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pada serbuan pertama 7.30 pagi, Unit Risikan Marin (URM) yang melakukan risikan di pengkalan haram Kampung Tebing menemui sebuah Proton Saga.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui 20 tong berisi petrol bernilai RM4,170 di tempat duduk penumpang belakang dan bonet kereta dipercayai menunggu masa untuk diseludup ke Thailand.

“Petrol dan kereta terbabit dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media.

Pada serbuan berasingan, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup 129 paket minyak masak di pengkalan haram Tualang, Pengkalan Kubor, 8.05 pagi tadi.

“Tiba di lokasi, kami dapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum merapatkan bot ke tebing untuk melakukan pemeriksaan.

“Lelaki terbabit melarikan diri dan pemeriksaan di kawasan itu menemui 129 paket minyak masak yang dibungkus dalam guni beras dengan nilai rampasan RM451.50,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 1:44 PM