V Shem (kanan), Wee Kiong tersingkir awal di Terbuka China.
V Shem (kanan), Wee Kiong tersingkir awal di Terbuka China.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jangan terlalu banyak berfikir mengenai ranking nombor satu dunia, nasihat Datuk Lee Chong Wei kepada beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tersingkir awal di Terbuka China semalam.

Chong Wei yang tidak asing dengan status pemain nombor satu dunia, mengakui V Shem-Wee Kiong pasti tertekan kerana ramai pemain lain akan cuba mengejar serta memberi tekanan kepada mereka.

“Saya sudah tujuh tahun berada di ranking nombor satu dunia, memang akan ada perbezaan jika sebelum ini kita belum pernah berada di kedudukan berkenaan. Saya harap mereka mampu memperkuatkan lagi semangat melawan,” katanya ketika ditemui di Kem Badminton Astro Kasih semalam.

Jelasnya, V Shem-Wee Kiong akan memperoleh banyak pengalaman selepas ini ketika memegang status pasangan nombor satu dunia.

“Saya harap selepas ini mereka fokus terhadap permainan sendiri, jangan fikir pemain lain. Sekarang semua orang cuba mengalahkan mereka. Menjadi pemain ranking nombor satu dunia memang akan ada tekanan.

“Mereka perlu belajar bagaimana untuk menghilangkan tekanan dan tewas sekali tidak bermakna kalah sepanjang tahun,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016 itu.

Dalam pada itu, Chong Wei menyeru ramai pihak swasta mengikut jejak langkah Astro yang cuba membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa akan datang.

“Masa saya dulu tidak ada peluang seperti ini, dapat berlatih di Jepun. Jadi kem badminton ini sangat bagus dalam usaha kita untuk melahirkan lebih ramai pemain nombor satu dunia serta juara dunia.

“Saya datang ke sini untuk memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan berharap bukan saja Astro tapi lebih banyak pihak melakukan perkara sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:30 AM