X
AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam mengancam untuk mengikut jejak langkah Russia keluar dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ekoran kritikan antarabangsa terhadap kempen memerangi dadah yang dilancarkannya.

Russia secara rasmi keluar dari ICC kelmarin dan menggelar tribunal itu sebagai berat sebelah dan tidak efektif.

“Russia mungkin beranggapan ICC tidak berguna, jadi mereka keluar daripada menjadi ahli.

“Saya mungkin mengikut jejak langkah sama. Kenapa? kerana pembuli yang tidak tahu malu ini hanya menyasarkan negara kecil seperti kami,” kata Duterte.

Filipina adalah antara 124 negara anggota mahkamah disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, satu-satunya mahkamah tetap jenayah perang.

Duterte juga mengulangi semula ancaman sebelum ini untuk keluar dari PBB kerana mendakwa badan dunia itu gagal menghentikan perang yang membunuh ribuan wanita dan kanak-kanak.

“Sekiranya China dan Russia memutuskan untuk menubuhkan pertubuhan baru, saya akan menjadi yang pertama menyertainya,” tegasnya.

Duterte menang besar dalam pilihan raya pada Mei lalu selepas berikrar menghapuskan perdagangan dadah dan membunuh ribuan pengedar dadah.

Lebih 4,000 orang terbunuh sejak Duterte mengangkat sumpah sebagai presiden pada 30 Jun lalu.

Kira-kira 1,800 suspek dadah ditembak mati oleh polis dan 2,600 lagi dibunuh oleh penyerang tidak dikenali.

Pembunuhan itu menyebabkan Manila dikritik beberapa negara termasuk sekutu rapatnya Amerika Syarikat dan juga PBB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:41 AM