ZAHARI (empat kanan) bersama pegawainya melihat barangan yang dirampas. FOTO Amran Hamid
ZAHARI (empat kanan) bersama pegawainya melihat barangan yang dirampas. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas barangan seludup termasuk kenderaan bernilai lebih RM1 juta dalam Ops Wawasan Kedah/Perlis yang dijalankan di sempadan Malaysia-Thailand bermula September hingga semalam.

Komander Bridged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Zahari Ahmad berkata, kebanyakan barangan yang dirampas dipercayai cuba diseludup masuk ke negara jiran seperti daun ketum, minyak masak dan minuman keras manakala ubat serta pendatang tanpa izin (PATI) cuba diseludup masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah.

Katanya, daripada jumlah itu, 23 kes dikesan sepanjang kawalan Ops Wawasan di Perlis dan Kedah yang membabitkan nilai rampasan berjumlah RM316,963 iaitu bermula September sehingga Oktober lalu.

"Bagaimanapun, sepanjang mengambil alih tugas di sini pada 6 November lalu, pasukan Batalion 3 berjaya merampas pelbagai barangan termasuk minyak masak dan tepung gandum bernilai RM324,326.

"Jumlah rampasan itu menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM641,290 dan jika ditambah nilai rampasan kenderaan yang disita menjadikan jumlahnya melebihi RM1 juta," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Bridged Utara PGA di Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 3:24 PM