Dayang Saniah memangku bayi perempuan yang dilarikan Selasa lalu sambil diperhatikan Siti Norbaiti. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: Siti Norbaiti Bahanaharing, 26, mengakui masih sukar melupakan insiden bayi perempuannya dilarikan dalam kejadian di Hospital Tanah Merah (HTM), Selasa lalu.

Malah, ibu dua anak itu mahu insiden berkenaan menjadi pengajaran dan pedoman buat semua pihak supaya tindakan pencegahan dapat diambil secara serius bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Tak mungkin saya dapat lupakan hal ini atau padam dari ingatan saya sekelip mata. Ia akan menjadi kenangan sehingga akhir hayat saya.

"Setiap kali menatap wajah anak, kejadian itu akan bermain di fikiran. Sebab itu sukar saya untuk lepaskan dia dan sentiasa pastikan dia ada di sisi sepanjang masa," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Bukit Mas, di sini, hari ini.

Terdahulu, Siti Norbaiti menerima kunjungan 20 anggota Skuad Sayang Wanita UMNO Kelantan diketuai Komandannya Dayang Saniah Awang Hamid yang juga Ahli Lembaga Pelawat HTM.

Dalam pada itu, Dayang Saniah berkata, Skuad Sayang Wanita UMNO bersedia membantu keluarga itu menghadapi trauma susulan insiden terbabit.

"Kami sedia bantu dalam proses mereka mengembalikan keyakinan diri selepas menghadapi peristiwa berkenaan. Dia masih dalam tempoh berpantang dan penting untuk pastikan emosinya stabil.

"Untuk itu, kami bersedia menyediakan khidmat kaunseling daripada profesional dan keperluan lain mereka termasuk penganjuran doa selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 4:45 PM