Zainor cedera di muka selepas disamun dua lelaki bertopeng.
Zainor cedera di muka selepas disamun dua lelaki bertopeng.
Kalidevi Mogan

Kuala Lumpur : Bekas Pengarang Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zainor Sulaiman cedera di muka selepas disamun dua lelaki bertopeng yang memecah masuk rumahnya di Taman Sri Ampang kira - kira jam 5. 30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu,dua lelaki memecah masuk rumah mangsa dan menanti di hadapan bilik tidur Zainor, 69, ketika dia hendak keluar untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid berdekatan rumahnya.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya, Zainor berkata,seorang daripada mereka yang menanti di hadapan pintu biliknya menyerang dengan pencungkil besi.

"Kedua-dua lelaki itu mengarahkan saya supaya tidak berbuat bising dan meminta kunci bilik lain sebelum menggeledah seluruh rumah.

"Pada masa yang sama, seorang daripadanya mengambil pisau di dapur untuk mengancam saya, " katanya.

Menurutnya, beliau bersama isterinya Nurhamisah Ahmad, 49, dan anak bongsunya

Zulfakar Zain, 31, yang turut berada di rumah ketika kejadian diikat kedua-dua

tangan menggunakan tali kabel sehingga jam 7.30 pagi.

Beliau berkata dua suspek melarikan wang tunai, empat telefon pintar, komputer riba,barangan kemas dan sebuah kereta jenis Proton Persona milik anaknya yang mengakibatkan kerugian lebih RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 6:52 PM