Nor Suriya diminta pulang ke pangkuan keluarga. FOTO ihsan Nor Radila Ahmad
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: "Pulanglah kakak, ayah sudah pergi buat selama-lamanya pada September lalu. Ibu juga amat merindui kakak dan nak sangat jumpa kakak sebelum dia meninggalkan kita,”.

Demikian harapan Nor Radila Ahmad, 24, yang masih gagal mengesan kakaknya, Nor Suriya Ahmad, 35, selepas hilang tanpa berita sejak 10 tahun iaitu pada 2006 lalu biarpun pelbagai usaha sudah dilakukannya.

Radila yang tinggal di Segamat, Johor berkata, sehingga kini dia dan keluarganya masih belum mendapat khabar berita mengenai kakaknya itu.

"Kali terakhir kami berjumpa dengan kakak dan suaminya adalah pada Hari Raya Aidilfitri, 2006 lalu namun ketika kami menziarahinya di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan, beberapa hari selepas itu dia hilang.

"Ketika itu, jirannya ada beritahu kami, kakak sudah berpindah tapi tidak pasti lokasi sebenar. Kami juga cuba menghubungi kakak tetapi gagal," katanya ketika dihubungi, di sini, petang tadi.

Menurutnya, keluarganya amat merindui kakaknya yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik itu dan mahu dia pulang ke pangkuan mereka.

"Ayah baru saja meninggal kira-kira dua bulan lalu akibat asma tanpa pengetahuan kakak. Kini saya dan adik beradik yang lain sangat risaukan kesihatan ibu.

"Pantang sebut nama kakak, ibu pasti akan menangis. Ibu juga ada beritahu dia amat rindukan kakak selain berpesan kepada saya supaya terus mencarinya jika dia sudah tiada nanti," katanya.

Katanya, dia juga cuba mengesan kakaknya itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Segamat, Johor untuk mendapatkan perkembangan mengenai kakaknya itu.

“Hasil carian di JPN dia mendapati kakaknya itu masih tidak mengemaskini kad pengenalannya dan rekod turut memaparkan dia memiliki dua anak berdasarkan nombor surat beranak yang tertera tetapi tiada kad pengenalan.

“Saya juga mendapati suami kakak yang berasal dari Sabah iaitu Hendry Wenceslos sudah meninggal dunia di Hospital Tawau pada 2007.

“Saya yakin dan tidak menolak kemungkinan kakak masih berada di Sabah,” katanya.

Katanya, dia dan keluarga terutama ibunya masih menanti serta berharap agar kakaknya akan pulang segera.

"“Saya merayu kepada kakak supaya pulang kepada kami. Sesiapa yang mengenali kakak diharapkan dapat menyalurkan maklumat segera dengan menghubungi saya di talian 016-9362075,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 7:48 PM