HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA). FOTO Mohd Azren Jamaludin

HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA). FOTO Mohd Azren Jamaludin

Tuan Asri Tuan Hussein

Dulu-dulu ia dikenali sebagai rumah sakit sebab di situ tempat merawat orang sakit. Namun, seiring arus permodenan, namanya ditukar kepada hospital yang dipinjam daripada perkataan Bahasa Inggeris.

Apapun nama diguna pakai, fungsinya tetap sama iaitu sebagai pusat sehenti bagi memberi perkhidmatan terutama rawatan berkaitan dengan penyakit atau apa-apa masalah kesihatan manusia.

Sebagai tempat merawat orang sakit, hospital perlu ‘sihat’. Kalau hospital itu sendiri sakit atau bermasalah, macam mana ia mampu berfungsi dengan baik untuk melaksanakan tugas merawat.

Kebelakangan ini, berlaku insiden yang memberi gambaran ada hospital kerajaan yang ‘sakit’ atau lebih tepat lagi menghadapi masalah dalam aspek keselamatan.

Paling memberi kesan dan tentunya sukar dilupakan ialah kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada 25 Oktober lalu sehingga meragut nyawa enam pesakit yang menghuni wad unit rawatan rapi (ICU).

Jarang sekali kejadian seperti itu berlaku di negara kita dan lebih menyedihkan, siasatan awal pihak berkuasa mendapati ada unsur pengabaian aspek keselamatan yang mungkin menjadi faktor menyumbang kejadian.

Selasa lalu, berlaku pula kes bayi dilarikan di Wad Kanak-Kanak Hospital Tanah Merah (HTM), Kelantan. Mujur, suspek iaitu suami isteri berjaya ditahan polis kira-kira dua jam kemudian dan bayi perempuan berusia lima hari itu ditemui semula.

Institusi hospital sangat dekat dengan masyarakat. Sebab itu apabila berlaku sesuatu yang ada kena mengena dengan hospital, ia pantas menarik perhatian umum.

Sebagai contoh, apabila diumumkan caj perkhidmatan wad pesakit kelas satu dan dua di hospital kerajaan akan dinaikkan mulai 1 Januari tahun depan, orang ramai jadi ‘kalut’ dan tersebar macam-macam khabar angin.

Justeru, tidak hairan jika Menteri Kesihatan Datuk Dr S Subramaniam kini amat sibuk untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai insiden dan isu berkaitan hospital.

Kata Dr Subramaniam, caj baru wad pesakit kelas satu dan dua sebenarnya hanya membabitkan 1.6 peratus jumlah pesakit manakala 98.4 peratus lagi masih dibiayai melalui subsidi penuh.

Menurutnya, jumlah pesakit di hospital kerajaan pada setiap tahun kira-kira dua juta dan daripada jumlah itu, jumlah pesakit kelas satu dan dua cuma 32,000.

Mengenai insiden kebakaran wad ICU HSA, Dr Subramaniam menjelaskan laporan siasatan mengenainya oleh jawatankuasa siasatan bebas akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KK) hujung bulan ini.

Menurutnya, laporan itu yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta wakil lembaga arkitek dan kejuruteraan kemudian akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Beliau juga berkata, susulan tragedi berkenaan, pihaknya mula menjalankan pemeriksaan terhadap bangunan hospital berusia lebih 50 tahun di negara ini bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.

Merujuk kepada kes bayi dilarikan di HTM pula, Dr Subramaniam secara jujur mengakui wujud kelemahan di pihaknya kerana insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kementerian akan menjalankan siasatan terperinci. Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di mana-mana hospital dan kami memandang insiden itu sangat serius,” katanya.

Kita menghargai sikap dan pendekatan amat responsif Kementerian Kesihatan dalam menangani pelbagai insiden yang berlaku ini.

Pada masa sama, kita turut tidak sabar menunggu laporan daripada siasatan yang dijalankan, baik mengenai kebakaran di HSA, kes bayi dilarikan di HTM dan tahap keselamatan bangunan hospital berusia lebih 50 tahun di negara ini.

Sewajarnya, selepas setiap laporan dibentangkan kepada Kabinet, ia dimaklumkan juga secra telus dan terbuka kepada umum kerana rakyat sebagai ‘pelanggan’ hospital berhak untuk mengetahuinya.

Apa yang lebih penting selepas itu ialah tindakan susulan untuk merawat hospital di negara ini yang dikenal pasti ‘sakit.’

Ini kerana bukan rahsia lagi, selain HSA ada lagi hospital di negara ini didapati tidak mematuhi peraturan kesiapsiagaan untuk menghadapi risiko kebakaran.

Buktinya, di Kelantan, Pengarah JBPM negeri Azmi Othman berkata pemeriksaan ke atas 10 hospital kerajaan di negeri itu mendapati banyak aspek peraturan keselamatan tidak dipatuhi.

Antaranya, wujud halangan di laluan keluar, pintu keluar dikunci dan ada hospital didapati melakukan ubah suai bangunan tanpa merujuk kepada JBPM.

Kementerian Kesihatan perlu serius untuk mengatasi masalah ini kerana ia membabitkan nyawa. Sebagai tempat tumpuan umum dn sentiasa sesak, hospital tidak boleh ‘sakit’ tetapi perlu 100 peratus ‘sihat.’

Jika perlu, Kementerian Kesihatan harus melihat semula bagaimana peruntukan RM25 bilion yang mereka peroleh daripada Bajet 2017 akan diguna pakai.

Sewajarnya, jumlah yang mencukupi diperuntukkan untuk ‘merawat’ hospital yang sakit dan pada hemat saya, tidak salah jika Kementerian Kesihatan menjadikan 2017 sebagai tahun merawat hospital di bawah kendaliannya yang sakit.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 2:15 AM