PUSAT Kajian Alam Bina Dunia Melayu diperbaharui mengikut keunikan rekaan Nee dengan menterjemahkan elemen rekaan vernakular ke dalam teknologi moden.
KEKAYAAN sejarah di Pasar Pudu memberi inspirasi kepada Chai untuk mengetengahkan reka bentuk dalaman yang mengekalkan suasana dengan pelbagai tarikan diperbaharui.
GOH (kiri) dan Chong (kanan) bersama penerima anugerah emas seni bina dan reka bentuk dalaman untuk kedua-dua kategori.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Perkongsian idea, ciptaan seni bina dan rekaan dalaman yang hebat bukan saja membantu arkitek atau pereka lebih ke hadapan, malah turut memberi inspirasi kepada semua pihak.

Bukan hanya aspek penciptaan dan idea menjadi keutamaan, pertandingan Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2016 yang sudah masuk tahun kesembilan turut mengambil kira aspek penyampaian idea serta komunikasi efektif.

Sebanyak 1,238 penyertaan diterima tahun ini, peningkatan berganda berbanding 87 penyertaan pada tahun pertama ia diadakan.

Pertandingan itu selari dengan matlamat Nippon Paint Malaysia Group (Nippon Paint) untuk memupuk minat bakat muda, selain memberi peluang kepada mereka menjalin hubungan dan rangkaian dengan pemain industri.

AYDA 2016 turut menjadi platform kepada pereka muda meneroka, mendorong selain keluar daripada batas sempadan rekaan.

Ia bagi menghasilkan karya ciptaan yang berani dan berimpak luar biasa tanpa kehilangan identiti dan keaslian.

Nippon Paint bersama IJM Land Berhad (IJM Land) mengadakan majlis penyampaian anugerah kepada penerima AYDA 2016 di Hotel Holiday Villa, Subang, minggu lalu.

Majlis turut dihadiri Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia Gladys Goh dan Pengarah Urusan IJM Land Edward Chong.

Antara yang dipertandingkan ialah anugerah seni bina dan reka bentuk dalaman dengan dua kategori diketengahkan iaitu pelajar serta profesional muda.

Pertandingan kali ini menampilkan tema [Be Bold. Be Free. Be You’ bertujuan memberi inspirasi kepada arkitek dan pereka dalaman muda menghasilkan konsep baru, segar, berani, bebas dan asli.

Menurut Goh, pertandingan tahun ini mencatatkan sejarah kerana memperkenalkan tema yang memberi ganjaran kepada peserta.

“Ia memberi peluang kepada peserta keluar daripada zon selesa dan teroka laluan baru serta sampaikan idea tanpa sempadan.

“Seiring dengan visi kami dalam memupuk bakat pereka muda, kategori profesional muda turut diperkenalkan.

“Kami berbangga melihat mereka lebih yakin, berkeupayaan dan berani mengetengahkan idea atau konsep,” katanya.

Bagi anugerah seni bina kategori pelajar, David Nee Zhi Kang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diumumkan penerima anugerah emas dan membawa pulang RM5,000, peluang menjalani latihan industri berbayar selama enam bulan di IJM Land serta mengikuti lawatan sambil belajar di Jogjakarta.

Pada masa sama, rekaan seni binanya turut menerima anugerah Inovasi Hijau Terbaik dan Pemilihan Warna Terbaik.

Karya Nee menyelusuri sejarah budaya dan seni bina tempatan dengan menterjemahkan elemen rekaan vernakular ke dalam teknologi moden. Beliau memperbaharui seni bina Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM).

Anugerah emas reka bentuk pula dimenangi Chai Min Li yang mengetengahkan konsep pembaharuan semula Pasar Pudu dan kawasan sekitarnya.

Bagi kategori profesional muda, ia memberi peluang kepada alumni peserta AYDA mengenang pengalaman lalu selain mengkaji persepsi terhadap perkembangan rekaan masa kini.

Menerusi kategori ini, anugerah emas dimenangi Maryam Zamalik dari Asas Architects manakala Goh Sow Yee dari Turn Design menerima anugerah emas reka bentuk dalaman.

Bermula dengan Anugerah Pereka Muda Nippon Paint (NPYDA), AYDA2016 kini mendapat perhatian 14 negara Asia lain seperti Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Hong Kong, China, Jepun, Pakistan, Bangladesh, India, Taiwan, Papua New Guinea dan Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:00 AM