ALBUM terbaru WINGS tetap mendapat sambutan.
ALBUM terbaru WINGS tetap mendapat sambutan.
AIZAT tampil kelainan dalam penghasilan album.
AIZAT tampil kelainan dalam penghasilan album.

"Sekarang album terjual 1,000 unit pun sudah okey," kata Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim.

Kenyataan Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU dan Presiden Eksekutif KRU Music ini jelas menunjukkan industri muzik tempatan kini dihimpit masalah pasaran album yang lembap.

Menurut Norman, hasil penjualan album sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM27 juta berbanding RM300 juta pada 1996. Malah, pihaknya turut menjangkakan kutipan pada tahun ini lebih rendah berbanding tahun lalu.

"Ini hakikat yang kita perlu terima. Penjualan album secara fizikal tidak lagi memberikan pulangan yang menguntungkan kepada penyanyi dan syarikat rakaman," katanya kepada RAP.

Namun Norman tidak melihat senario itu sebagai 'pembunuh' industri muzik tempatan, sebaliknya ia kini memasuki era transformasi iaitu daripada cakera padat (CD) ke digital.

"Walaupun tidak semeriah dulu, ia masih berkembang. Seiring dengan perkembangan teknologi, syarikat rakaman ketika ini lebih banyak bergantung kepada penjualan secara digital yang lebih menguntungkan," katanya.

Menurut Norman, kaedah 'ringback tone' kini menjadi punca pendapatan utama industri muzik tempatan. Selain itu, kemunculan laman streaming seperti Spotify, iTunes, KKBox dan Deezer membantu menjana pendapatan hingga memberi pulangan sebanyak RM40 juta hingga RM50 juta setahun kepada industri muzik tempatan.

Situasi ini juga menyebabkan kebanyakan penyanyi dan syarikat rakaman lebih selesa merakamkan single berbanding album serta mempromosikan lagu berkenaan secara digital termasuk menggunakan laman sosial seperti YouTube.

"Walaupun jualan CD jatuh mendadak, tetapi ia masih relevan. Contohnya album rock dan Islamik masih mencatat jualan membanggakan iaitu 10,000 unit ke atas. Album Zikir Terapi 3 daripada Hafiz Hamidun misalnya mencatat jualan lebih 30,000 unit. Namun, dari segi digital pulangannya kurang," katanya.

Norman berkata, dalam era transformasi ini juga peranan syarikat rakaman turut berubah.

"Ia tidak lagi memberi fokus kepada penghasilan album, sebaliknya perlu lebih menyeluruh termasuklah sebagai pengurusan artis dan promoter persembahan yang sekali gus boleh membantu menjana pendapatan," katanya.

Sementara itu, label Kasi Gegar Entertainment (KGE) yang memayungi penyanyi seperti Aizat Amdan, Go Gerila!, The Venopian Solitude, Amir Jahari dan Tonawarna sentiasa menampilkan kelainan dari segi pemasaran, promosi dan pembungkusan album penyanyi terbabit termasuk memasarkannya secara digital.

Ketuanya, Anne Khalid berkata, walaupun penjualan album fizikal semakin jatuh, mereka tetap menghasilkan CD serta digital.

"Bagaimanapun, kita tidak mencetak CD dengan banyak dan lebih banyak fokus kepada digital untuk promosi dan jualan.

"Tahun ini kami cuma terbitkan dua album iaitu The Venopian Solitude (Hikayat Perawan Majnun) dan Aizat Amdan (Legasi), tetapi untuk menarik pembeli kami tampilkan kelainan untuk kedua-dua album itu.

"Contohnya album Legasi kami hasilkan dalam bentuk piring hitam dan kita menjualnya secara lelong dalam online. Album yang mula dipasarkan pada Mei lalu dicetak sebanyak 222 keping saja dan kini hanya tinggal 20 keping yang belum dijual.

"Begitu juga dengan album Hikayat Perawan Malam. Buat permulaan kami hanya mencetak sebanyak 500 keping saja dan sejak dilancarkan pada Mac lalu, ia sudah habis dijual. Kami cetak sebanyak 300 keping lagi Oktober lalu dan jualannya terus meningkat," katanya.

Anne berkata, kelebihan KGE ialah mereka memberi kebebasan kepada artis mereka untuk berkarya serta memastikan setiap produk mereka mempunyai kelainan bagi mewarnai lagi industri muzik tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:02 AM