WINGS ketika era kegemilangan album Hukum Karma pada lewat 1980-an.
ANTARA aksi Wings ketika persembahan di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.
Payatt
riadz@hmetro.com.my


Di saat industri muzik tempatan dikatakan merudum, Wings antara yang boleh ‘cari makan’ lagi.

Ketika kebanyakan penyanyi dan kumpulan muzik lain berdepan kesukaran menarik penonton ke konsert berbayar, nama Wings masih kukuh untuk membangkitkan selera penonton ke konsert mereka.

Dalam erti kata lain, sejak popular dengan lagu Intan Ku Kesepian kira-kira 29 tahun lalu, hingga hari ini Wings masih lagi ‘crowd puller’.

Buktinya dalam Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Oktober tahun lalu masih mampu menarik lebih 25,000 penonton walaupun harga tiket dikatakan agak mahal.

Begitu juga dengan Konsert 30 Tahun Wings - Back To 80s di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru yang berlangsung dua bulan selepas itu apabila mereka mampu menarik lebih 8,000 penonton.

Baru-baru ini, band rock dianggotai Awie ( penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) ini sekali lagi membuktikannya dalam satu persembahan istimewa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-25 pusat hiburan itu.

Tiga hari selepas pengumuman mengenai persembahan itu dibuat, tiket berharga RM80 habis dijual!

Hasilnya, pada hari persembahan, Hard Rock Cafe padat dengan penonton yang sebahagian besarnya peminat tegar Wings. Bagi yang tiba lewat, mereka terpaksa menonton dari skrin televisyen saja kerana ruang di depan pentas padat dengan penonton.

Malah, ada yang mencuba nasib membeli tiket secara ‘walk in’, tetapi terpaksa pulang hampa kerana semuanya habis dijual.

Macam biasa, persembahan Wings tetap bertenaga sebagaimana dalam konsert mereka sebelum ini. Bunyian serunai yang sering kita dengar dalam persembahan wayang kulit Kelantan memulakan persembahan Wings pada malam itu sebelum mereka menghangatkan suasana dengan lagu Hukum Karma.

Namun, dalam persembahan berskala kecil serta ruang yang agak sempit, Wings tidaklah terlalu ‘all out’ tetapi masih menghiburkan.

Malam itu mereka memainkan lagu yang cukup dekat dengan peminat seperti Romania, Bujang Senang, Nasib Kita, Ranggi Metropolis, Ingatkan Dia, Taman Rashidah Utama, Jerangkung Dalam Almari, Opera Hidup dan Sejati.

Sebelum itu pada 29 Oktober lalu, Wings tampil sebagai band pembuka kepada Scorpions dalam Konsert Rockaway 2016 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Kedua-dua persembahan istimewa ini sebenarnya adalah sesi ‘pemanas badan’ sebelum mereka tampil dengan konsert lebih besar iaitu Konsert 30 Tahun Wings di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember depan.

Apa yang pasti, Wings pasti tidak akan mengecewakan peminat mereka di Sabah. Konsert di Negeri Di Bawah Bayu yang memang terkenal dengan penonton yang ‘sporting’ pasti meriah.

Siapa kata rock sudah mati? Wings membuktikan muzik rock di Malaysia terus ‘evergreen’ dan tak akan mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:02 AM