Fong (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran FAOM, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Persatuan Teknologi Kewangan Malaysia (FAOM) optimis dapat mewujudkan satu rangkaian strategik dengan persatuan teknologi kewangan (fintech) di seluruh dunia dalam menangani gangguan yang muncul dalam perkhidmatan kewangan.

Presidennya, David Fong Seow Kee berkata, pihaknya berharap dapat bertindak sebagai peneraju utama dalam ekosistem perkhidmatan berkenaan, sekali gus membentuk platform kebangsaan dalam merancakkan inovasi dan pelaburan fintech di rantau ini.

Beliau berkata, transformasi dalam teknologi menjadikan pihaknya kembali meneliti secara menyeluruh bagaimana institusi kewangan tradisional dan perkhidmatannya dilaksanakan.

“Selain itu, bank dan syarikat insurans tidak lagi menjadi penjaga tunggal bagi perkhidmatan pembiayaan.

“fintech membuka prospek luas dalam memenuhi permintaan pasaran dengan menawarkan platform dengan tahap kecekapan operasi yang lebih berkualiti dan menepati kehendak pasaran yang sentiasa berubah seiring teknologi,” katanya pada majlis pelancaran FAOM di sini, semalam.

Pada 18 Oktober lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan maklumat terperinci rangka kerja kawal selia teknologi kewangan (fintech) atau sandbox, susulan pengumpulan maklum balas terhadap cadangan rangka kerja berkenaan dikeluarkan pada 29 Julai lalu.

Menurut bank pusat berkenaan, kawal selia berkenaan membolehkan eksperimen terhadap penyelesaian fintech dibuat dalam situasi sebenar, tertakluk kepada pelindung dan keperluan pengawalseliaan bersesuaian.

Fong berkata, penubuhan FAOM menandakan pembangunan yang semakin cemerlang dalam segmen teknologi kewangan di Malaysia serta berperanan sebagai pusat sehenti bagi pemain industri dalam pelbagai sektor kewangan.

“Bagi prospek tahun hadapan, persatuan mempunyai visi membantu pertumbuhan positif ekosistem industri berkaitan fintech serta komuniti sokongan dalam membentuk keupayaan a bagi syarikat pemula fintech.

“Pembangunan industri ini dilihat dan dirujuk kepada Revolusi Industri Keempat seiring dengan inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Bajet 2017 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi digital negara,” katanya.

Katanya, industri yang berkembang juga dijangka terus meningkat dari segi permintaan dan tumbuh cemerlang di ASEAN dalam beberapa tahun akan datang yang memanfaatkan keseluruhan pasaran perkhidmatan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:04 AM