NOR AZMI
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Jika diukur dari segi pakej, tidak dinafikan pelakon Nor Azmi Baharon, 40, mungkin ketinggalan. Pun begitu, kalau dinilai pada bakat seninya sudah pasti layak dilabel pelakon berkaliber.

Anak jati Johor ini jelas memiliki bakat besar. Kalau tidak, tidak mungkin dia berupaya melakonkan watak lelaki pekak dan bisu dalam telefilem Tulus Ikhlas.

Telefilem istimewa mengangkat kisah hidup dua lelaki kurang upaya (OKU) yang buta dan seorang lagi, pekak serta bisu itu diarahkan Hafiz Ibrahim. Pernah ditayangkan menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480 ) pada Februari lalu, Nor Azmi melakonkan watak Buyong.

Nor Azmi yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, akui kekurangan diri dari segi populariti. Bagaimanapun, katanya, dia sedikit pun tidak gentar dengan persaingan bakat baru.

“Meskipun pada sudut populariti saya ketinggalan tetapi kepuasan diperoleh daripada karya dibintangi. Kalau ikutkan sejarah pembabitan saya dalam karier seni, sebenarnya sudah bermula sejak 1997 lagi. Ketika itu, saya mengikuti pengajian dalam lakonan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan (Aswara).

“Saya bermula dalam lakonan dengan menyahut cabaran membintangi filem pendek kemudian barulah dapat peluang berlakon filem,” katanya.

Nor Azmi teruja diberi peluang membintangi filem Haru Biru arahan Shadan Hashim pada 2007. Biarpun ketika itu hanya melakonkan watak pembantu, ia dianggap peluang besar dan tidak mudah dimiliki.

“Saya sedar keadaan diri yang mungkin kurang dari segi pakej tetapi saya yakin dengan bakat seni dimiliki,” katanya.

Mengakui sangat selektif perihal watak, Nor Azmi bersyukur dapat bekerjasama dengan Mamat Khalid dalam beberapa filem arahannya. Bermula dengan filem Rock pada 2005, diikuti Rock Oo! (2013) dan terbaru, Rock Bro! ‘Kembali ke Pangkal Jalan’.

“Saya berterima kasih pada abang Mamat kerana percaya dan yakin dengan bakat lakonan yang saya miliki,” katanya.

Dalam Rock Bro! ‘Kembali ke Pangkal Jalan’ yang masih ditayangkan di pawagam, Azmi melakonkan watak Black iaitu anggota daripada kumpulan rock terkenal, Rimba Bara yang diketuai Jijo.

Nor Azmi juga bangga dapat peluang berlakon dengan pelakon hebat seperti Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan dan Que Haidar dalam filem arahan Mamat.

Lebih membanggakan apabila filem trilogi Rock Bro! ‘Kembali ke Pangkal Jalan’ mendapat sambutan apabila berjaya mencatat kutipan lebih RM4 juta dan masih ditayangkan lepas empat minggu.

Katanya, dia bersikap selektif tidak kerana cuba berlagak ‘demand’ sebaliknya apa yang dilakukan adalah bagi memastikan dia mampu menjadi pendukung watak yang berjaya pada mata penonton.

“Saya mahu lakonan dipersembahkan dapat meninggalkan kesan mendalam seperti watak Buyong dalam telefilem Tulus Ikhlas.

“Kebanyakan penonton menyangka saya pemuda OKU selepas menonton Tulus Ikhlas sebagai Buyong. Dalam realiti kehidupan, saya lelaki normal yang boleh bercakap dengan baik dan juga mendengar.

“Apapun, saya puas apabila dapat mempersembahkan lakonan berkesan untuk dinilai penonton,” katanya.

Telefilem Tulus Ikhlas dikembangkan jalan ceritanya dari satu iklan hari raya pada 2012. Nor Azmi berlakon di sisi pemuda cacat penglihatan, Mohd Safiq Arshad sebagai Adi.

Tulus Ikhlas dicalonkan untuk Asian Television Award (ATA) 2016 dalam kategori ‘Best Single Drama’. Turut menjayakan telefilem itu ialah Azri Iskandar, Rahim Omar dan Marissa Yasmin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:08 AM