Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Low Wee Wern (gambar) sudah bersedia untuk merampas takhta kejuaraan Kejohanan Skuasy Kebangsaan daripada Delia Arnold selepas bergaya melangkah ke final.

Pada aksi separuh akhir semalam, Wee Wern tidak perlu bermandi peluh untuk menewaskan Rachel Arnold 11-5, 11-4, 11-2.

Namun, ketika pemain kelahiran Pulau Pinang itu berdepan laluan mudah, penyandang juara Delia terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan S Sivasangari 14-12, 10-12, 11-9, 6-11, 11-7.

“Saya berada pada prestasi terbaik berbanding tahun lalu dan memang sudah bersedia untuk merampas kejuaraan daripada Delia.

“Walaupun perlawanan dilalui hari ini agak singkat, saya masih dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Selepas Delia berdepan laluan sukar hari ini (semalam), mungkin kemenangan berpihak kepada saya.

“Tapi, saya yakin dia akan bangkit semula pada aksi final esok (hari ini),” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Bagi kategori lelaki, Nafiizwan Adnan yang hadir selaku juara bertahan, tidak berdepan masalah menewaskan Ng Eain Yow 11-8, 11-6, 11-9 pada aksi separuh akhir semalam.

Nafiizwan akan bertemu Ivan Yuen Chee Wern yang menewaskan Mohammad Addeen Idrakie Bahtiar 11-4, 11-4, 11-7.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:12 AM