AFP

Manchester: Pemain gantian Olivier Giroud (gambar) menyempurnakan satu-satunya peluang dicipta Arsenal untuk menghasilkan gol pada minit ke-89 sekali gus membolehkan pasukannya seri 1-1 dengan Manchester United malam tadi.

Jaringan Juan Mata pada minit ke-69 dilihat cukup untuk membolehkan United yang dikendalikan Jose Mourinho menang tetapi ketika permainan menuju ke penghujung, hantaran lintang Alex Oxlade-Chamberlain pantas ditanduk Giroud bagi mengikat kedudukan.

Keputusan itu mengekalkan kelebihan enam mata Arsenal berbanding United yang menduduki tangga keenam tetapi kedudukan itu mungkin tidak kekal.

Arsenal masih lagi buntu memburu kemenangan di Old Trafford sejak 10 tahun lalu dan Wenger tetap gagal mengatasi Mourinho pada aksi liga sepanjang 12 percubaan.

Tetapi keputusan seri malam tadi boleh dianggap sebagai kemenangan buat Wenger terutama selepas Mourinho melancarkan perang psikologi dengan mengatakan pengendali Perancis itu menggunakan alasan penantian selama 12 tahun untuk menang ke atasnya.

Jaringan Giroud yang juga gol keempatnya musim ini, melebarkan rekod tanpa kalah Arsenal kepada 17 perlawanan dalam semua pertandingan manakala United pula hanya menang dua kali sepanjang sembilan aksi liga.

Mourinho yang bersalaman dengan Wenger sebelum dan selepas perlawanan, perlu meningkatkan moral anak buahnya menjelang aksi Liga Europa menentang Feyenoord di tempat sendiri, Jumaat nanti.

Alexis Sanchez tetap turun selepas disahkan cergas bagi melonjakkan semangat Arsenal dan seperti biasa, dia mengancam di awal permainan tetapi tandukannya hasil hantaran lintang Theo Walcott tidak menepati sasaran.

United pula merencana gerakan menerusi Michael Carrick dan Antonio Valencia dan kehadiran pemain veteran di Old Trafford itu membolehkan Paul Pogba bebas di barisan depan.

United merasakan mereka wajar diberikan penalti selepas Nacho Monreal menjatuhkan Valencia tetapi pengadil Andre Marriner enggan melayan tuntutan pemain tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:14 AM