NUR Jazlan (kiri) meninjau kawasan sempadan sempena lawatan kerja di sempadan Kelantan-Thailand. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Rantau Panjang: Kerajaan akan mempertingkatkan penggunaan teknologi di kawasan sempadan negara terutama di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) termasuk meletakkan mesin pengimbas lori untuk mengekang aktiviti penyeludupan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata, mesin pengimbas berkenaan sangat diperlukan kerana pada masa ini pelbagai barangan yang diseludup masuk ke negara ini termasuk senjata api dan haiwan.

Katanya, setakat ini hanya mesin pengimbas badan sahaja yang ada di Pengkalan Kubor, Tumpat dan kawasan itu serta beberapa daripadanya sudah rosak.

"Masalah ini akan diselesaikan menerusi perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk perjalanan operasi kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

"Semua agensi keselamatan yang bertugas di sempadan negara akan diselaraskan oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM)," katanya dalam sidang media di ICQ, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan keselamatan di kawasan sempadan negara di Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:29 PM