Nik Aminuddin (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Seorang lelaki yang dipercayai sudah tiga bulan mengedar dadah sekitar daerah ini ditahan bersama 2,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM40,000.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggotanya di tepi jalan Kampung Padang Melintang, di sini, 10.30 malam tadi.

"Ketika ditahan, suspek yang juga jurujual pakaian terpakai sedang menunggu pelanggannya dalam kereta Perodua Kelisa di tepi jalan.

"Pemeriksaan dalam kereta itu menemui bungkusan kertas berwarna kekuningan di atas alas kaki tempat duduk penumpang hadapan yang di dalamnya mengandungi 10 paket kecil berwarna biru berisi dadah jenis pil kuda," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam siasatan awal, suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah dari Kota Bharu dan mengedarnya di sekitar Bachok.

"Suspek tiada rekod jenayah lampau dan direman tujuh hari bermula hari ini hingga 26 November untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 6:46 PM