DARI kanan Faiz, Azman, Yusof dan Lokman.
Oleh Nor Akmar Samudin

Selepas tiga kali berada di tangga ketiga terbawah, Pencetus Ummah Mohd Lokman Ahmad, 29 (PU Lokman), amat terhutang budi dengan penonton kerana atas usaha dan sokongan mereka, tanpa diduga dia melepasi tahap kritikal itu apabila berjaya meletakkan dirinya pada peringkat akhir Pencetus Ummah musim kedua (PU2).

Malam kemuncak PU2 akan diadakan di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS), Bangi, Khamis ini jam 9 malam yang dipancarkan terus di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya (saluran 135).

PU Lokman yang berkhidmat sebagai Imam di Kuantan, Pahang, sudah mencuba nasib untuk menyertai program realiti dakwah itu sejak musim pertama lagi, namun ketika itu tuah tidak bersamanya.

"Apabila sudah berjaya menyertai PU2, kedudukan saya seperti 'telur di hujung tanduk' apabila tiga kali berturut-turut saya berada di tangga ketiga terbawah. Dengan kejayaan saya dapat masuk ke peringkat akhir ini, terpaksalah saya membuat persediaan rapi kerana tiga lagi PU yang turut beradu akal dan minda mereka pada malam kemuncak itu nanti ternyata handal belaka.

"Saya menyertai PU2 untuk menimba ilmu menjadi pendakwah yang lebih berkalibar dan berkarisma kerana peserta diajar intonasi suara yang betul, penyampaian dan penampilan meyakinkan. Jika sebelum ini saya berceramah mengikut gaya dan cara saya sendiri, namun selepas menyertai PU2, banyak ilmu yang dipelajari.

"Pernah juga pada setiap minggu di mimbar PU2, saya cuba buat gimik. Pun begitu agak kurang sesuai dengan saya sehingga dikritik penonton. Daripada semua komen yang diterima, nampaknya saya kena menjadi diri saya sendiri semula dengan membuat persembahan secara bersahaja," katanya.

Lokman yang sudah berumah tangga juga bersedia untuk menempuh fasa baru dalam hidupnya kerana dia kini dikenali ramai. Dengan tagline, 'Betulkan yang biasa, biasakan yang betul', Lokman kini bersiap sedia untuk menentang tiga lawannya, PU Mohd Yusof Arbain (PU Yusof), 34, Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli (PU Hafiz), 25, dan Azman Syah Alias (PU Azman), 33.

Bimbang popular boleh makan diri

PU Faiz yang masih pekat dengan 'loghat pantai timurnya' pula mempunyai pengalaman berbeza dengan PU Lokman di mana pada hari pertama dia ke uji bakat PU2 dia 'lari' balik selepas dia melihat peserta lain diminta menyanyi dan menyampaikan tazkirah dalam pelbagai gaya.

"Hari kedua uji bakat saya datang semula dan diminta menyampaikan tazkirah. Memang 'keras' gaya saya waktu itu dan terselit dalam hati tiada harapan untuk menyertai PU2. Apatah lagi saya tidak mengikuti PU1 jadi saya tidak boleh bayangkan ia macam mana.

"Saya pula bukanlah cerdik sangat dan kebanyakan tugasan diberikan 'ketika itu' juga. Puaslah saya kena menghafal ayat al-Quran dan hadis. Lain dengan PU Yusof dan PU Azman yang sangat berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu sebagai Pakar Runding dan Pakar Motivasi Remaja.

"PU Lokman dengan lawak jenakanya, PU Yusof pula seorang yang banyak menghafal dalil al-Quran dan PU Azman dengan gaya penyampaiannya yang meyakinkan. Saya pula, dalil pun tak kemas dan tak pandai melawak," katanya.

Pun begitu, PU Faiz amat bersyukur apabila dia menjadi antara peserta 'favourite'penonton dan adat bertanding, pendakwah bebas itu menyimpan hasrat untuk menang.

"Andai menang, saya tak merancang apa-apa cuma saya bercadang untuk menyiapkan buku mengenai Sahsiah Syariah Politik Islam," katanya.

Aura glamor yang mula menyusup masuk dalam kehidupannya agak membimbangkannya kerana bagi PU Faiz, semua itu adalah penyakit hati yang boleh membuatkan manusia lupa diri.

"Saya akan terus mendidik diri dan jiwa saya untuk menerima perubahan dalam kehidupan saya selepas ini dengan berhati-hati," katanya.

Ikut jejak langkah adik

Adik PU Yusof iaitu Imam Muda Nurin (Nuri Ali Arbain) lebih dulu mengatur langkah dengan menjadi peserta program Imam Muda musim pertama. Calon finalis yang berasal dari Pahang itu mempunyai pengalaman luas sebagai jurulatih motivasi, perunding dan memberi kuliah Maghrib serta Subuh di masjid sekitar Kuantan.

Bekas graduan Universiti Islam Antarabangsa, Gombak ini berkata, dia mesti menyiapkan tugasan yang diberi setiap minggu mengikut jadual kerana sebagai pakar runding, dia perlu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.

"Saya tidak suka melengahkan kerja dan sepanjang berada dalam PU2, saya sentiasa mengambil pandangan daripada Murabbi (Fasilitator), juri tetap dan juri jemputan kerana sebagai juri, mereka lebih arif mengenai persembahan dan penyampaian setiap peserta.

"Selain itu, saya memang mengikuti PU1 dan mengkaji corak persembahan peserta waktu itu. Sebelum ini tiada yang menegur cara saya berceramah, kini saya lebih memahami cara penyampaian yang betul dan berkesan," katanya.

Ditanya harapannya dalam pertandingan akhir PU2, jelasnya, alang-alang sudah berada pada minggu kemuncak, mestilah dia mahu menang.

Timba pengalaman

Kemenangan bukanlah objektif utama kepada PU Azman kerana apa yang lebih penting untuk mencabar dirinya sendiri. Selama 11 tahun belajar di Mesir dalam jurusan Kuliyah Syariah Islamiah, tiba masanya dia menguji kebolehan diri.

"Meskipun sudah dua tahun menjadi penceramah bebas tetapi saya antara peserta PU2 yang paling gementar apabila berada di atas mimbar PU2 pada setiap minggu. Pelbagai perasaan silih berganti, bimbang terlajak bercakap, tak yakin untuk menyampaikan hujah dan rasa rendah diri.

"Objektif saya berdiri di atas mimbar PU2 agar syarahan dan penyampaian saya berbekas di hati penonton. Segala rasa gemuruh saya berusaha mengatasinya dan alhamdulillah saya berjaya ke peringkat akhir PU2 yang saya sifatkan sebagai kemenangan awal untuk diri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:04 AM