KEADAAN kelam kabut di depan pintu gol Southampton ketika menentang Liverpool.
AFP

Southampton, England: Juergen Klopp memuji aksi Liverpool dalam aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan ke atas Southampton biarpun Reds terlepas peluang mengukuhkan cengkaman mereka di puncak Liga Perdana Inggeris.

Manchester City berkongsi kedudukan dengan Liverpool menerusi kemenangan 2-1 di Crystal Palace dan hanya di tempat kedua berdasarkan jaringan manakala Chelsea akan merampas tangga teratas dengan kelebihan satu mata jika mereka menewaskan Middlesbrough.

Klopp menyaksikan penguasaan Liverpool di St Mary’s, tetapi biarpun penjaga gol Southampton Fraser Forster berjaya menyelamatkan percubaan Sadio Mane pada separuh masa pertama, Liverpool mensia-siakan percubaan mereka menerusi Philippe Coutinho, Roberto Firmino dan Nathaniel Clyne pada separuh masa kedua.

Pengurus Reds mengakui kecewa dengan kegagalan pemainnya di depan gol tetapi berkias mengenai hasil perlawanan itu, terutamanya selepas tiga penyerangnya Coutinho, Firmino dan Mane masing-masing baru kembali daripada perlawanan mewakili negara masing-masing.

“Kami mempunyai peluang mencukupi untuk memenangi perlawanan ini terutamanya pada babak kedua,” kata Klopp.

“Namun sudah tentu saya tidak kisah dengan persembahan mereka.

“Dua perkara yang penting dalam bola sepak adalah keputusan dan persembahan. Keputusannya tidak begitu sempurna tapi persembahannya lebih baik daripada kita jangkakan apabila memikirkan mengenai persediaan pasukan, apabila Phil dan Robert kembali pada Khamis.

“Keadaannya hampir sama saja buat semua pasukan tapi buat semua pemain dari Amerika Selatan ia lebih panjang kerana mereka menempuh perjalanan jauh. Apabila anda bermain untuk seri, maka ada baiknya anda menang daripada kalah.

“Kami sepatutnya menjaringkan gol, tapi itulah bola sepak. Sering berlaku dalam kehidupan saya, tewas dalam perlawanan seperti ini apabila pasukan saya jauh lebih baik dan mempunyai lebih banyak peluang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 8:00 AM