Sultan Ibrahim melancarkan majlis Penjenamaan IIBD. Turut hadir, Tunku Ismail, Mohamed Khaled (kiri) dan Kamaruzzaman (tiga dari kanan) di Pusat Konvokesyen Persada, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Sultan Ibrahim melancarkan majlis Penjenamaan IIBD. Turut hadir, Tunku Ismail, Mohamed Khaled (kiri) dan Kamaruzzaman (tiga dari kanan) di Pusat Konvokesyen Persada, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melancarkan penjenamaan identiti Ibrahim International Business District (IIBD), pusat pembangunan komersil bertaraf antarabangsa di Wilayah Ekonomi Johor.

Turut berangkat pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA), Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Hadir sama mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Kamaruzzaman berkata, IIBD memperkenalkan konsep semangat keusahawanan dengan tumpuan kepada empat strategi utama iaitu Warisan, Peluang, Mobiliti dan Kelestarian Alam bagi memacu strategi pembangunan dan pelaburan di IIBD.

"Semangat keusahawanan melambangkan aspirasi kerajaan negeri bagi IIBD untuk bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan, menarik bakat dan pelaburan serra menggalakkan inivasi serta keusahawanan.

"Semangat ini menjadi teras pembangunan ekonomi IIBD, dengan perdagangan dan pelaburan diberikan tumpuan bagi membina jaringan serta kerjasama perniagaan," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Katanya, JCorp juga akan menubuhkan sebuah entiti IIBD yang akan beroperasi sebagai pemaju induk, pelaksana dan pemasar bagi merancakkan pemerolehan pelaburan asing, modal sosial dan modal insan.

"Entiti berkenaan akan memberi tumpuan merangka dan melaksanakan dasar pro perniagaan dan pelaburan.

IIBD berlokasi di Wilayah Ekonomi Johor Selatan di sini, sertadibangunkan di tanah berkeluasan 101 hektar dan ia menjadi tumpuan antarabangsa untuk pelaburan, perdagangan, aktiviti korporat dan perusahaan.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan memotong kek sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-58 esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 2:33 PM