PUSAT pemulihan akhlak di Pokok Sena. FOTO Zuliaty Zulkifli
PUSAT pemulihan akhlak di Pokok Sena. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis memanggil empat individu termasuk warden Pusat Pemulihan Akhlak di Pokok Sena bagi membantu siasatan berhubung kes pelajar lelaki maut selepas dibelasah 10 penghuni di situ, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya mengambil keterangan daripada semua individu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes.

Katanya, warden berkenaan adalah individu tidak terkecuali dalam siasatan pihaknya selain penolong warden, pegawai dan pengawal keselamatan yang bertugas ketika kejadian.

"Kesemua yang ditahan reman selama seminggu sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian malam Jumaat lalu, seorang penghuni Pusat Pemulihan Akhlak di Pokok Sena mati dipukul dipercayai sekumpulan 10 penghuni pusat berkenaan.

Kejadian itu difahamkan berpunca daripada mangsa mengambil ayam goreng seorang daripada penghuni pusat itu pada waktu makan.

Mangsa yang berusia 17 tahun dan berasal dari Langkawi dimasukkan ke pusat pemulihan itu pada 11 November lalu berikutan masih dalam tempoh reman selepas terbabit dalam kes pecah rumah di Langkawi.

Berikutan itu, polis menahan 10 penghuni berusia antara 14 sehingga 18 tahun kerana disyaki terbabit dalam kejadian bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan:

Remaja maut dipukul 10 penghuni

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 5:30 PM