Rozimi Hashim di Tokyo


Tokyo: Gegaran kuat akibat gempa 6.9 magnitud yang melanda Fukushima pada 6 pagi (5 pagi Malaysia) boleh dirasai di Tokyo.

Beberapa wartawan Malaysia yang berada di Tokyo atas jemputan Japan National Tourism Organisation (JNTO) merasai gegaran kuat seminit yang menggegarkan hotel penginapan di tengah Tokyo.

Namun, selain tiga wartawan Malaysia dari Harian Metro, Berita Harian dan Chin Press serta beberapa tetamu, tidak ramai yang keluar dari hotel ketika gegaran itu.

Keadaan di Tokyo yang terletak kira kira 300 kilometer dari Fukushima seperti biasa pagi ini. Jalan raya tetap dipenuhi kenderasn dan orang ramai meneruskan urusan seharian.

Menurut kakitangan dari JNTO, Maruiamar Isao, menjadi kebiasaan gegaran gempa dirasai di Tokyo dua atau tiga kali sebulan di Tokyo namun tidak sekuat dan selama seminit seperti pagi ini.

Gempa yang melanda wilayah Fukushima dan Miyagi itu mencetuskan amaran tsunami dan pihak berkuasa Jepun sudah mengarahkan penduduk di kawasan pantai timur berpindahke kawasan tinggi.

Gempa itu melanda kawasan sama gempa 9.0 magnitud pada 2011 yang mengorbankan 20,000 nyawa yang turut menjejaskan reaktor nuklear.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 10:04 AM
FOTO Reuters
FOTO Reuters