X
(Dari kiri)Abu Hanifah, Muhammad Sharul dan Mohamad Zulfadli maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 9.3, Jalan Simpang Renggam - Benut, malam tadi. FOTO ihsan bomba
(Dari kiri)Abu Hanifah, Muhammad Sharul dan Mohamad Zulfadli maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 9.3, Jalan Simpang Renggam - Benut, malam tadi. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Anja Asmara


Pontian: Tiga lelaki yang maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 9.3, Jalan Simpang Renggam - Benut di sini, malam tadi dikenal pasti sebagai pemandu Proton Wira, Abu Hanifah Hassan, 28 dan dua remaja masing-masing berusia 17 tahun, Mohamad Zulfadli Rahman yang memandu sebuah lagi Proton Wira serta penumpangnya, Muhammad Sharul Idham Md Dewa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam, pemandu Toyota Vios yang juga terbabit dalam kemalangan ini dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dipercayai apabila kereta dinaiki dua remaja berkenaan dari arah Benut ke Simpang Renggam dipandu secara laju, melulu dan merbahayakan sehingga gagal dikawal dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Akibat terbabas ke laluan bertentangan, kenderaan dipandu remaja 17 tahun yang juga tidak mempunyai lesen memandu melanggar bahagian penjuru belakang Toyota Vios dipandu seorang lelaki.

"Pada masa sama, kereta itu berlanggar pula dengan sebuah lagi Proton Wira yang berada di belakang Toyota Vios berkenaan.

"Kereta dua remaja itu kemudian terbabas memasuki parit yang dipenuhi air," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Harun Rais berkata, pihaknya yang tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu, manakala dua lagi mangsa dari kereta yang lain tercampak keluar.

"Seorang mangsa sebuah Proton Wira tersepit di tempat duduk pemandu dan kita menyerahkannya kepada kakitangan ambulans selepas berjaya mengeluarkannya.

"Dua lagi mangsa di kenderaan lain tercampak keluar dan turut disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, operasi kemudian ditamatkan jam 10.29 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 12:00 PM