HAZIQ (kanan) dan Khairul menunjukkan papan sirkit buatan mereka.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Anak muda Malaysia berjaya mencipta papan sirkit yang mampu mengawal kenderaan sekali gus merealisasikan hasrat kenderaan tanpa pemandu pada masa depan.

Ketua Pegawai Teknologi Reka Studios Muhammad Haziq Faris, berkata ciptaan papan sirkit bersama seorang lagi rakan, Khairul Muzzammil boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan.

“Kami mahu tunjukkan papan sirkit kami boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan tidak kira model lama atau baru kerana ia akan membaca dan disambungkan pada pedal dan gear saja.

“Setakat ini kami mengujinya dengan Proton Waja dan ia berjaya,” kata Haziq yang akan menyertai Karnival Pencipta dan Inovasi Selangor 2016 (SMIC 2016) di pusat beli-belah The Strand, Kota Damansara pada 26 November ini yang turut dibuka kepada orang ramai.

Reka Studios juga akan membuat demonstrasi kenderaan tanpa pemandu di SMIC 2016 nanti.

Sementara itu, Khairul berkata, papan sirkit dengan aplikasi sedia ada boleh membaca otak manusia dan berinteraksi dengan mereka.

“Misalnya, ia akan mengesan individu kerana bertindak seakan-akan mata dan memberi salam ketika individu terbabit masuk dalam kenderaan tanpa pemandu itu,” katanya.

Katanya, mereka menerapkan konsep mekanikal yang boleh dimasukkan kenderaan berkomputer atau tidak, berlainan dengan konsep kenderaan Google dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 12:49 PM