PENGGUNA MasterCard dapat mengesahkan pembelian dalam talian dengan menggunakan telefon pintar untuk merakam gambar ‘selfie’.
PUSAT Arahan Operasi dan Data di St Louis memantau rangkaian bayaran MasterCard di seluruh dunia setiap masa.
SUASANA dalam bangunan yang menempatkan Pusat Arahan Operasi dan Data di St Louis.
CONTOH perkhidmatan di restoran tempat pengguna boleh membuat pembayaran menerusi telefon bimbit.
PETI sejuk boleh menggunakan rangkaian MasterCard untuk pembelian makanan secara dalam talian.
BOB Reany
DANA Lorberg
Aimie Pardas


Pembayaran menerusi kad kredit atau kad debit tidak mengambil masa yang lama untuk diluluskan. Cucuk kad di terminal atau masukkan nombor di bahagian pembayaran di laman web, bayaran dapat dibuat dalam beberapa saat.

Bagi MasterCard, kelulusan pembayaran ini melalui rangkaian pembayarannya dan dalam tempoh itu, ia perlu memastikan bukan palsu selain identiti pemilik disahkan.

Di sebalik tabir, terdapat dua pusat pengendalian yang memantau rangkaian pembayaran ini. Pusat utama berhampiran St Louis di Missouri, Amerika Syarikat dan pusat sekundernya kira-kira 400 kilometer di barat Kansas City.

Di sinilah MasterCard mengendalikan Pusat Arahan Operasi dan Data (Operations Command and Data Centre) bagi seluruh dunia sepenuh masa.

Seramai 100 kakitangan bekerja dalam syif 12 jam bagi memantau rangkaian pembayaran MasterCard dan memastikan ia berjalan lancar selain keselamatannya kukuh.

Di St Louis, mereka beroperasi dalam satu bilik besar dengan kira-kira 12 kakitangan menghadap skrin masing-masing.

Manakala di hadapan bilik itu terdapat 20 skrin 55 inci yang turut boleh digunakan sebagai satu skrin besar.

Skrin itu memaparkan beberapa maklumat mengenai rangkaian pembayaran yang diteliti dalam masa nyata.

Ketua Kanan Perniagaan Operasi Rangkaian Tom Larner berkata, rangkaian Mastercard dapat mengendalikan 160 juta transaksi sejam.

Pada 2014, kira-kira 43 bilion transaksi dikendalikan MasterCard.

“Jika rangkaian di sesebuah bank tergendala, transaksi itu boleh diarah ke rangkaian lain bagi memastikan pembayaran dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui di St Louis.

Memandangkan pelbagai maklumat melalui rangkaian MasterCard ini, pusat operasi di St Louis dan Kansas City turut menempatkan Pusat Data.

Di St Louis, pusat datanya seluas 5,110 meter persegi ditempatkan dalam dua tingkat.

Akses kepada DC ini terhad. Daripada 2,500 pekerja di St Louis, kurang 300 kakitangan boleh memasuki pusat data itu, katanya.

Akses bukan sahaja melalui kad pekerja malah pengesahan biometrik turut digunakan.

Sementara itu, pusat data di Kansas City lebih kecil dengan keluasan 3,159 meter persegi, katanya.

Bagi MasterCard, operasi rangkaian pembayaran yang tidak tergendala sangat penting terutama apabila pembayaran bertukar daripada bentuk fizikal menggunakan kad kredit atau debit kepada dunia digital dengan pembangunan e-dagang.

E-dagang semakin berkembang

Menurut kajian Bain & Company, Asia Tenggara berada di ambang pertumbuhan e-dagang.

Walaupun hanya 100 juta pembeli di Asia Tenggara sudah membuat pembelian dalam talian, 150 juta pernah menyelidik pembilan atau berinteraksi dengan penjual secara digital.

Dalam industri seperti peruncit pakaian dan kasut, 24 peratus penjualan dikendalikan dalam talian manakala 18 peratus pembelian bagi industri pelancongan dibuat secara online.

Kajian SP eCommerce pula menganggarkan pasaran e-dagang di Malaysia akan bernilai AS$530 juta (RM2.34 bilion) pada 2017 berbanding AS$380 juta (RM1.68 bilion) pada 2013.

Malah, pada 2012 terdapat 10.5 juta pembeli dalam talian di negara ini.

Rakyat Malaysia juga tidak teragak-agak membuat pembelian dalam talian. Pemindahan bank adalah cara pembayaran paling popular dengan 55 peratus pembayaran e-dagang dikendalikan menerusi cara ini tetapi 38 peratus pembayaran dikendalikan menerusi kad kredit, iaitu kedua tertinggi di rantau ini.

Transaksi 130 milisaat

Pegawai Operasi dan Teknologi MasterCard Dana Lorberg berkata, terdapat 210 negara dalam rangkaian MasterCard iaitu lebih daripada jumlah negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Manakala dua billion pengguna disambungkan di rangkaian ini menerusi produk kad kredit atau debit MasterCard selain berjuta syarikat dan penjual.

“Rangkaian MasterCard menerusi sistem kebenaran memudahkan proses penghalaan cerdas. Ia memeriksa setiap transaksi dan menghantarnya ke destinasi betul supaya keputusan sama ada transaksi itu diluluskan atau sebaliknya dapat dibuat. Proses ini mengambil masa 130 milisaat. Ia sangat pantas dan kepantasan ini penting bagi kami,” katanya.

Lorberg menjelaskan terdapat tiga sebab kepantasan itu penting. Pertama, ia dapat menyelamatkan kos kerana lebih banyak transaksi dapat dikendalikan pada satu masa. Selain itu, perkhidmatan nilai tambahan dapat ditawarkan kepada pembeli seperti program kesetiaan.

Akhirnya, terdapat beberapa industri yang memerlukan kepantasan ini seperti perkhidmatan pengangkutan. Contohnya, jika kad MasterCard digunakan di stesen keretapi bawah tanah untuk membuat pembayaran di pintu putar, kelulusan diperlukan dalam sekelip mata.

“Kami mempunyai kelebihan kepintaran menerusi teknologi dan dapat menawarkan kepintaran itu ke lebih banyak perkhidmatan kepada penjual atau institusi kewangan,” katanya.

Perkhidmatan nilai tambahan turut dapat ditawarkan memandangkan MasterCard mempunyai maklumat.

Pusat Data MasterCard mengandungi storan 5.6 petabait namun data di situ bukannya boleh dikenal pasti identiti pengguna tetapi boleh digunakan untuk mengelakkan penipuan atau membuat analisis ramalan.

“Kami dapat mengenal pasti penggunaan yang luar biasa bagi memastikan keselamatan pembeli dan penjual dan mengelak aktiviti penipuan. Ia aset bagus yang dapat digunakan bagi membezakan pelbagai jenis tingkah laku atau membangunkan tawaran perkhidmatan khusus bergantung kepada pengguna,” katanya.

Transaksi cepat, selamat

Naib Presiden Eksekutif bagi Penyelesaian Identiti MasterCard Bob Reany berkata, pengguna yang percaya jenama atau transaksi selamat digunakan akan mengulangi pembelian.

Dalam dunia digital, MasterCard bukan sahaja perlu memastikan transaksi itu dikendalikan oleh pengguna sebenar tetapi juga maklumat yang digunakan tidak dapat diperoleh penjenayah bagi tujuan penipuan.

“Kebanyakan penipuan bukan dibuat seorang penggodam tetapi operasi canggih oleh sindiket yang sanggup menggunakan pelbagai sumber. Namun, mereka hanya akan berbuat demikian jika ia berbaloi dan mudah,” katanya.

Oleh itu, dalam dunia digital, bank atau syarikat kewangan perlu menggunakan sekurang-kurangnya dua cara pengesahan pembeli seperti nombor pin, kata laluan, pengecaman peranti, analisis tingkah laku atau pengecaman biometrik bagi mengelakkan penipuan.

MasterCard juga menawarkan perkhidmatan pengesahan seperti Identity Check Mobile yang menggunakan pengecaman peranti, lokasi pengguna dan pengecaman biometrik untuk mengesahkan pembayaran.

Menerusi perkhidmatan ini, pengguna MasterCard dapat mengesahkan pembelian dalam talian dengan menggunakan telefon pintar untuk merakam gambar ‘selfie’.

“Ketika penggunaan Identity Check Mobile, pengguna hanya perlu mengelip mata untuk merakamkan gambar ‘selfie’ selain lokasi pengguna dan peranti yang digunakan turut dikenal pasti.

“Seperti pengecaman wajah biometrik yang lain, selepas rakaman dibuat, gambar itu disahkan menurut beberapa faktor seperti jarak di antara mata atau tanda khas pada muka,” katanya.

Pengesahan itu juga boleh digunakan bersama pengesahan cap jari jika ditetapkan bank atau institusi kewangan. Namun, bukan semua telefon pintar mempunyai pengimbasan cap jari.

Kajian MasterCard mendapati 92 peratus daripada pengguna awal menganggap Identity Check Mobile lebih mudah digunakan serta lebih selamat berbanding kata laluan.

“Lagi ramai menganggapnya lebih selamat, lagi besar kemungkinan mereka selalu menggunakannya,” katanya.

Identity Check Mobile diperkenalkan bulan lalu di 12 negara di Eropah iaitu United Kingdom, Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Finland, Jerman, Hungary, Belanda, Norway, Sepanyol dan Sweden. Ia turut diperkenalkan di Amerika Syarikat dan Kanada pada Mac lalu.

Ia akan diperkenalkan di Asia tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 1:18 PM