RUNDINGAN masalah sekatan pembalakan oleh Orang Asli di Hutan Simpan Balah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Kelantan. FOTO Muhd Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa masalah yang dihadapi penduduk Orang Asli yang membuat sekatan pembalakan di Hutan Simpan Balah, Gua Musang sejak September lalu akan diselesaikan dengan segera.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Kelantan kini dalam proses rundingan dengan masyarakat Orang Asli.

Katanya, tempoh sekatan yang berakhir Ahad lalu itu juga dilanjutkan sehingga masalah berkenaan selesai.

"Kerajaan negeri tidak mahu menggunakan kuasa, namun sekiranya ia tidak boleh diselesaikan secara rundingan, barulah kita akan menggunakan proses undang-undang dan meminta semua pihak menghormatinya.

"Kita minta semua pihak memberi kerjasama, bertolak ansur dan meminta pihak kerajaan membuat kerja masing-masing," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung tindakan penduduk Orang Asli yang membuat sekatan bagi menghalang kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Balah sejak September lalu.

Sekatan dibuat di beberapa kawasan termasuk Pos Simpor, Balau, Parik, Simpang Petai dan Peralong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 4:16 PM