Skip this ad x
ROSLIDA (tengah) akan berlepas ke Tehran, Iran pada 7.05 malam dari klia2. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Isteri dua pendaki rakyat Malaysiayang hilang di Gunung Damarvand, Iran akan berlepas ke Iran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 7.05 malam ini.

Mereka ialah Roslida Ablah, 41, iaitu isteri Ramli Abdul Majid, 44, serta Yuszahanim Yusoff, isteri kepada Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, yang akan mengikuti misi pencarian suami masing-masing.

Selain itu, dua anak Syed Redzuan turut sama berlepas hari ini selain saudara dan rakan pendakian.

Roslida berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suami hanya pada 17 November lalu ketika menghantarnya di lapangan terbang.

"Saya sedia maklum telefon bimbit suami memang menghadapi masalah sekali gus sukar untuk menghubunginya bertanyakan khabar.

"Malah, sebelum itu, saya ada terdengar khabar suami mahu meneruskan pendakian ke puncak dan cuaca agak buruk. Bagaimanapun, pada Selasa lalu selepas solat Maghrib, saya menerima berita dia hilang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Roslida berkata, dia berharap pencarian suaminya dan Syed Redzuan berjalan lancar sekali gus menemui mereka dengan selamat.

"Suami saya terbabit aktiviti pendakian sejak 2005 dan sebenarnya, dia seorang yang bertenaga dan sentiasa berfikiran positif malah, saya berdoa dan percaya, dia boleh bertahan dan mengatasi cabaran di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 6:10 PM