AHMAD Tarmizi menunjukkan aplikasi Flood Rescue versi 1.1. FOTO Syamsi Suhaimi
AHMAD Tarmizi menunjukkan aplikasi Flood Rescue versi 1.1. FOTO Syamsi Suhaimi
Nor Amalina Alias


Bachok: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menaik taraf aplikasi Flood Rescue (FR) bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Aplikasi yang dicipta Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Kor Suksis) UMK selepas bencana banjir 2014 dinaik taraf daripada FR 1.0 kepada FR 1.1.

Pengarah projek, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, empat penambahbaikan dibuat iaitu mengemaskini paparan antara muka, memudahkan menu aplikasi, penggunaan dua bahasa dan memasukkan login untuk tujuan keselamatan.

FR1.1 turut bersifat mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dengan paparan skrin mudah sentuh dan reka letak grafik yang fleksibel, katanya.

Selain itu, pengumpulan data aplikasi ini akan lebih cepat dan menjimatkan masa pihaknya; namun, mangsa banjir yang mengisi maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan, lokasi dan jenis kecemasan dihadapi juga tidak perlu bimbang maklumat itu diceroboh, katanya.

“Kita boleh terus tahu keperluan mangsa banjir sama ada mahu dibantu ke pusat pemindahan atau perlu bantuan makanan dan sebagainya," katanya.

Turut dimasukkan sebagai kandungan maklumat adalah siaran radio Kelantanfm.

FR 1.1 juga akan dilengkapkan lagi dengan maklumat pelbagai agensi keselamatan yang memerlukan kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita akan bentang kertas kerja aplikasi ini kepada NADMA di Kuala Lumpur, esok,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Kunjungan Hormat Ketua Polis Kelantan ke UMK dan Penyerahan Kad Kuasa Kor Suksis di UMK Kampus Bachok, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, pihaknya mengambil masa sebulan untuk menaik taraf aplikasi itu, berbanding pembangunan awal yang memakan masa enam bulan.

"Ia turut mendapat kerjasama Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti (JPJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Kelantan," katanya.

FR1.1 hanya boleh dimuat turun menerusi Google Play selewat-lewatnya Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 6:57 PM