ANGGOTA bomba menggunakan tali untuk mengeluarkan lembu yang terjatuh dalam longkang. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menggunakan tali untuk mengeluarkan lembu yang terjatuh dalam longkang. FOTO ihsan Bomba
Nadzreen Shah Mat Salim


Kundang: Anggota bomba dan penyelamat terpaksa berhempas pulas lebih 30 minit bagi mengeluarkan lembu terperangkap di dalam longkang sempit sedalam dua meter di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi tadi, lembu itu terjatuh ke dalam longkang ketika meragut rumput berhampiran Taman Rahmat Jaya di sini.

Bagaimanapun kejadian itu disedari penduduk taman itu yang segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang bagi mendapatkan bantuan.

Ketua BBP Batu Arang, Yazli Yahya berkata, seramai lima anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di sana, kami mendapati lembu itu tidak dapat bergerak di dalam longkang itu akibat tersepit.

“Seorang anggota bomba terpaksa turun ke dalam longkang dan mengikat badan lembu itu menggunakan tali.

"Dua tali diikat pada badan lembu itu namun haiwan terbabit meronta-ronta menyebabkan usaha menaikkannya ke atas tebing longkang menjadi sukar,” katanya.

Bagaimanapun dengan bantuan beberapa penduduk kampung, anggota bomba akhirnya berjaya menaikkan lembu itu 30 minit kemudian.

Yazli berkata, lembu itu terus beredar dari lokasi kejadian tanpa mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 10:25 PM