GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Bekas pelajar tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memukul seorang lelaki di bengkel motosikal di Nilai, minggu lalu.

Umair Ashraf Jamaludin, 20, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ala'uddin Baharom.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memukul P Govendan, 25, dengan menggunakan besi bulat yang diubahsuai menjadi pembuka tayar motosikal di bengkel motosikal di Desa Cempaka, Nilai, dekat sini.

Perbuatan itu dilakukan pada 8.45 malam, 15 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala tertuduh diwakili Anis Syazween Mohd Zawawi.

Peguam yang mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan paling minimum diberikan dengan mengambil kira anak guamnya menyerah diri di balai polis bagi membantu siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 20 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 11:00 PM