X
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah pengurusannya (AUM) kepada RM350 bilion menjelang 2022 dipacu pengenalan pelan strategik enam tahun PNB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pelan strategik bagi tempoh 2017 hingga 2022 itu bertujuan mengekalkan pulangan yang kompetitif dan terus memenuhi mandat untuk meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti Bumiputera dan rakyat Malaysia dengan jangkaan pemilikan ekuiti dan kekayaan Bumiputera kepada RM298 bilion menjelang 2022.

“PNB menyedari cabaran ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan global yang agak mendatar dan persekitaran kadar faedah yang rendah. Namun, kita percaya dengan menggembleng semua pelaburan dan kekayaan masyarakat Bumiputera, kita boleh mencapai AUM sebanyak RM350 bilion disokong dengan pulangan yang mampan, konsisten dan kompetetif.

“AUM pada masa ini mencecah RM260 bilion berbanding RM3.5 bilion sejak 1981 dan ia adalah satu kejayaan bukan saja kepada PNB tetapi juga kepada masyarakat Bumiputera,” katanya di majlis pelancaran Pelan Strategik 2017-2022 PNB di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Abdul Rahman berkata, jika masyarakat lebih yakin dengan program kewangan yang dibuat untuk semua pihak, lebih ramai lagi warga Bumiputera membuat pelaburan dengan lebih baik dan bukan melabur pada skim cepat kaya atau Pemasaran Berbilang Aras (MLM).

Beliau berkata, PNB sudah merangka pelan strategik yang mempunyai tiga teras utama membabitkan 15 inisiatif iaitu meningkatkan pulangan yang mapan, pengurusan pelaburan yang berkesan dan memacu kecemerlangan operasi.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, PNB adalah pelabur utama di Bursa Malaysia dengan nilai pelaburan RM170 bilion atau 10 peratus daripada pemodalan pasaran di bursa dalam syarikat utama di Malaysia.

“Ini termasuk syarikat strategik Kumpulan PNB seperti Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, UMW Holdings Berhad, SP Setia Berhad, Chemical Company of Malaysia Berhad dan MNRB Holdings Berhad serta syarikat teras lain seperti Axiata Berhad, Tenaga Nasional Berhad, CIMB Holdings Berhad, Maxis Berhad dan Telekom Malaysia Berhad.

“PNB juga menyumbang kepada negara bukan saja dari segi pulangan kewangan, malah dari segi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera. AUM milik Bumiputera di PNB telah berkembang kepada RM213 bilion pada 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 7:15 AM