IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Kalidevi Mogan Kumarappa


Hulu Selangor: "Saya baru saja menutup gerai sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.

“Terkejut saya menyaksikan kereta jatuh satu persatu, bagai ditelan bumi," kata saksi kejadian tanah runtuh, Normah Ninggal, 48, di Taman Idaman, Serendah, di sini, awal pagi ini.

Normah berkata, ketika kejadian dia baru selesai berniaga dan sedang mengemas di hadapan rumahnya yang terletak bersebelahan gerainya itu.


“SAYA terkejut tengok kereta jatuh satu persatu, bagai ditelan bumi," kata Normah Ninggal, 48, di Taman Idaman, Serendah. FOTO Devi

"Saya panggil anak-anak yang berada di gelanggang sepak takraw di sebelah rumah untuk masuk.

"Tidak sampai seminit, tanah di belakang rumah runtuh, pokok bergoyang dan kereta berpusing," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.


IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia

Beliau berkata, kejadian itu amat menakutkan kerana tiada tanda-tanda yang jalan atau tanah di kawasan itu retak.

Penduduk pindah

LEBIH 150 penghuni rumah di Taman Idaman sudah diarahkan untuk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.


IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Kamil Hamadan, berkata disebabkan masih ada pergerakan tanah di lokasi kejadian, semua penduduk sudah diarahkan berpindah.

Katanya, kawasan kejadian seluas 1.2 hektar itu sudah runtuh 50 meter ke bawah.


IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia

"Operasi mencari dan menyelamat sudah dijalankan di lokasi kejadian bermula 6. 45 pagi dan selepas membuat pencarian lebih sejam, tiada mangsa ditemui.

"Sebagai langkah pencegahan semua penduduk yang berada di zon merah iaitu empat lorong rumah kediaman bertentangan dengan lokasi kejadian sudah diarahkan berpindah," katanya kepada Harian Metro.


IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia

Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, lapan kenderaan dan deretan kedai serta gerai makan menggelongsor jatuh ke lereng bukit sedalam 20 meter akibat kejadian tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 9:54 AM