PKNS mungkin tidak sertai Liga Malaysia musim depan.
PKNS mungkin tidak sertai Liga Malaysia musim depan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketika saingan Liga Malaysia (Liga-M) hanya berbaki tujuh minggu untuk dimulakan, kelab yang baharu dinaikkan pangkat ke Liga Super musim depan, PKNS FC dilanda kontroversi apabila difahamkan tidak akan menyertai saingan liga tempatan.

Perkembangan itu berpunca daripada tindakan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menyerahkan surat rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk menarik semula sokongan terhadap kelab itu daripada menyertai Liga-M.

Berdasarkan statut pertandingan, hanya pasukan kelab yang dicalon dan disokong persatuan bola sepak negeri serta mematuhi peraturan FAM layak menyertai Liga-M.

Malah Presiden PKNS FC Siti Zubaidah Abdul Jabar yang dihubungi semalam mengakui terkejut dengan keputusan FAS itu, disifatkannya sebagai tidak profesional.

Katanya, badan induk negeri itu seharusnya memikirkan impak yang terpaksa dihadapi kelab berkenaan, terutama mengenai masa depan pemain dan jurulatih yang sudah memiliki kontrak dengan PKNS.

“Saya amat berharap mereka memaklumkan PKNS mengenai perkara berkenaan dan menyatakan apakah sebab mereka mengambil keputusan sedemikian kerana kami tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.

“Kami sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada mereka dalam pembangunan bola sepak di Negeri Selangor seperti penajaan RM5 juta musim lalu selain meminjamkan pemain seperti Patrick Ronaldinho.

“Ini tindakan yang saya anggap tidak profesional sedangkan selama ini kami sangat menghormati mereka kerana sudah lama membabitkan diri dalam mengurus dan mentadbir organisasi bola sepak di Negeri Selangor,” katanya.

Ujarnya, beliau mengharapkan FMLLP dan FAM dapat mempertimbangkan hasrat pasukan itu untuk terus bertanding biarpun tanpa sokongan FAS.

“Saya benar-benar berharap FAM dan FMLLP mempertimbangkan penyertaan PKNS dalam Liga-M kerana kami sudah memenuhi segala syarat penyertaan yang ditetapkan FMLLP.

“Malah usaha ke arah penswastaan pasukan juga sudah mencapai 80 peratus dan ini diakui panel FMLLP secara lisan semasa lawatan mereka ke Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 10:07 AM