KALI pertama berdepan jadi malu kerana idolanya sangat baik dan merendah diri.
Ardini Sophia Sina

Mula dikenali dengan lagu Percayalah, Indah Ruhaila sangat meminati Dayang Nurfaizah. Dia mengakui agak fanatik dengan pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu.

Kata Indah, dia terkesima dengan aura Dayang ketika berada di pentas ketika melihat sendiri persembahan penyanyi asal Kuching, Sarawak itu ketika Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL 29).

Ketika itu dia mempertaruhkan lagu Percayalah hingga berangan dan menanam azam untuk hebat seperti Dayang yang dipuji juri sebagai penyanyi yang memiliki nada suara sempurna.

Kali pertama bersua muka dengan Dayang, Indah akui agak malu kerana sedar Dayang berada jauh dan kedudukannya dalam industri seni muzik lebih tinggi daripadanya.

Bagaimanapun, anak saudara Ayai Ilusi itu terkejut kerana Dayang sangat merendah diri dan berbual dengannya seperti biasa tanpa meletakkan sebarang perbezaan antara mereka.

“Saya tidak hanya mengagumi vokal Dayang tetapi semua yang ada pada dia. Setiap kali persembahan, saya suka lihat postur tubuh, solekan, pakaian dan dandanan rambutnya. Bagi saya, semua itu sangat sesuai dengan lagu serta ‘mood’.

“Dia juga mempunyai aura yang besar ketika berada di pentas. Sehingga hari ini, setiap kali mendengar lagu Di Pintu Syurga, pasti meremang bulu roma. Itu adalah lagu Dayang yang paling saya suka,” katanya.

Dengan aura yang begitu besar, Indah awalnya beranggapan Dayang masih sama seperti ketika di pentas. Bagaimanapun, anggapannya salah. Apabila bertemu dan berbual dengan Dayang, dia jadi malu kerana Dayang sangat baik dan merendah diri.

Tidak hanya itu, Dayang juga banyak memberi kata-kata semangat dan motivasi agar Indah cekal meneruskan kerjaya sebagai penyanyi. Dia sedar, anak seni mempunyai pelbagai cabaran dan ada masa mungkin membuatkan seseorang itu jatuh terduduk.

Namun, cara membina semangat adalah dengan melihat idola mereka. Indah mengikuti perjalanan seni Dayang dan belajar untuk menjadi kuat sama seperti penyanyi kesayangannya itu.

Dia ingin menjadikan Dayang sebagai contoh terbaiknya. Walaupun sudah lama dalam industri, Dayang masih bertahan dan dikenali. Dia juga mengekalkan sikap-sikap yang membuatkan peminat senang dengannya.

“Dayang sudah lama dalam industri dan merasai turun naik sebagai penyanyi. Walaupun mempunyai nama besar, dia tetap melayan peminat dengan baik. Dia melayan pendatang baru sama seperti penyanyi lain.

“Melihat perkara positif seperti itu, sudah tentu saya mahu menjadi seperti dia. Bukan untuk meniru atau menjadi ‘Dayang’ tetapi mengikut caranya melayan semua orang dan terus merendah diri walaupun sudah berada pada tahap yang membanggakan,” katanya.

Indah akui banyak perkara yang boleh dipelajari dari Dayang dan diaplikasi setiap ilmu itu dalam perjalanan kariernya. Katanya, dia mahu terus belajar dan berubah serta memperbaiki kelemahan.

“Dayang tidak pernah lokek berkongsi ilmu. Setiap kali bertemu, Dayang pasti memberikan pelbagai tips yang dapat dipraktikkan.

“Dayang juga tidak pernah berahsia malah tanpa ditanya akan memberikan idea dan pendapat. Dia juga akan memberikan tips dalam mengalunkan lagu atau menjadikan ia lebih enak didengar.

“Setiap penyanyi mempunyai harapan agar berjaya sama seperti idola mereka. Saya juga seperti itu. Saya berharap diberi peluang untuk melangkah lebih jauh dan bertahan lama,” katanya turut meminati Datuk Siti Nurhaliza.

Indah kini sedang mempromosikan lagu baru, Semua Untuk Cinta hasil nukilan Hael Hussaini dan Ezra Kong. Dia akan menjalani penggambaran klip lagu rasmi untuk single baru itu.

“Insha Allah, saya akan menjalani penggambaran itu di luar negara. Kalau ada rezeki, semuanya sudah dalam perancangan. Video lagu yang ada dalam YouTube bukan klip rasmi. Itu saya suka-suka letakkan lirik pada video yang saya rakam ketika berada di Melbourne, Australia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 11:44 AM