Keadaan kawasan tanah runtuh dan jentera yang digunakan untuk baik pulih. - Foto MIOR AZLAN MIOR KAMARUL SHAHID
Kawasan yang diisytiharkan zon merah.
Pandangan dari udara kawasan tanah runtuh yang dirakam dron Pengurusan Bencana Selangor.
Mazizul Dani Siraj Mohd Zaini dan Amrullah Abdul Karim

Hulu Selangor: Masih ada aliran air bawah tanah di Taman Idaman, Serendah dan kawasan sejauh 600 meter dari lokasi tanah runtuh, dianggap masih belum selamat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor R Supramaniam berkata, kajian dilakukan beberapa agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memutuskan kawasan berkenaan masih diisytiharkan sebagai zon merah dengan 64 rumah sudah dikosongkan.

Setakat ini, menurutnya, dua kereta dan satu motosikal sudah dibawa keluar dari kawasan runtuhan daripada keseluruhan tujuh kereta dan tiga motosikal yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku 1 pagi semalam, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Supramaniam berkata, laporan penuh mengenai kejadian tanah runtuh itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Sehingga 4 petang semalam, semua 64 keluarga sudah mengosongkan rumah masing-masing namun hanya 26 keluarga berada di pusat pemindahan manakala 31 keluarga lagi tinggal di kawasan berhampiran," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, 57 keluarga sudah mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala tujuh keluarga belum mendaftar dan meminta mereka yang belum supaya mendaftar segera.

Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih sedang giat dilakukan selama 24 jam dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 1:44 PM