GAMBAR fail NSTP
Oleh Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Pelakon Fazura mengakui dia tiada niat untuk burukkan rakan pelakon Sara Ali ketika muncul dalam program Facing Up To Fazura di saluran E! Asia (Astro 712) Ahad lalu.

Dalam program itu, Fazura menceritakan mengenai persahabatannya dengan Sara semakin renggang sejak akhir-akhir ini.

Ia membuatkan ada pihak memberi maklum balas di mana adalah lebih baik jika konflik di antara Fazura dan Sara tidak didedahkan memandangkan sengketa mereka tidak diketahui umum.

Fazura ketika dihubungi berkata, dalam program realiti dia perlu jujur dengan setiap topik yang dikemukakan.

Katanya, jika diamati kenyataannya dalam program itu dia cuma bercakap hubungannya dengan Sara semakin renggang.

Menurutnya, dia ada berhubung dengan Sara sekitar November lalu dan berjanji untuk bertemu selepas rakannya itu kembali dari Bosnia-Herzegovina pada 17 November lalu.

“Dalam perbualan itu, kami baik-baik saja. Kami juga mengakui merindui antara satu sama lain.

“Namun, tiba tarikh 17 November itu, tiada khabar berita daripada Sara hinggalah sekarang. Bahkan terdengar pula cerita baru saya kononnya banyak buat salah dengan dia walhal sebelum ini dia mengakui buat salah dengan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 6:56 PM