Peralatan, termasuk komputer riba, kad pengenalan, kad Touch n Go dan wang tunai yang dirampas. - Foto NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Acryl menunjukkan kad Touch n Go yang dirampas serta gambar suspek yang ditahan. - Foto NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menumpaskan sindiket penipuan kad Touch n Go dengan nilai kerugian RM2.2 juta dalam serbuan dijalankan serentak di empat negeri pada 23 dan 24 November lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak lapan bulan lalu di Selangor, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 14 individu berusia antara 30 hingga 56 tahun, termasuk dua lelaki yang menjadi dalang sindiket berkenaan di Pulau Pinang.

"Hasil siasatan mendapati kad Touch n Go dibeli secara sah sebelum ditambah nilai secara tidak sah oleh sindiket menggunakan perisian tertentu dengan tambah nilai hingga maksimum RM1,500 bagi setiap kad," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini hari ini.

Acryl berkata, pihaknya turut merampas wang tunai lebih RM13,000, sembilan kenderaan pelbagai jenis, lima komputer riba, empat mesin Touch n Go, 466 kad Touch n Go, 27 kad pengenalan dan beberapa barangan dipercayai dibeli menggunakan kad palsu berkenaan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggar hampir RM1 juta termasuk 18 akaun bank milik suspek berjumlah RM165,000 yang dibekukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 4 (1) Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA) 1981," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 11:40 AM