MAYAT mangsa yang ditemui. FOTO ihsan APMM
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Daro: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa kapal karam berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit, di sini yang memasuki hari kedua membuahkan hasil apabila mayat seorang lelaki ditemui, hari ini.

Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui penduduk kampung yang turut membantu operasi SAR di kawasan perairan Kampung Salah Kechil, Pulau Bruit, di sini, pada 12 tengah hari.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching Komander Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, mayat itu dihantar ke Kampung Betanak untuk pengecaman sebelum dibawa ke hospital bagi bedah siasat.

Menurutnya, operasi SAR diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Dalam kejadian malam Ahad, sebuah kapal dengan muatan batu dari Sebuyau karam di perairan berhampiran Kampung Betanak, antara 9 hingga 10 malam.

Lima warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 20 hingga 50 tahun terbabit dalam kejadian itu. Dua anak kapal, Melvin Francis dan Kenny Clement selamat, manakala empat masih hilang.

Mereka yang hilang Pawi Nyawan, Kamal, Mira, dan Angga Wahyudi (warga Indonesia).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 3:42 PM