Shahrul Nizam (depan) dan Rimy mengaku bersalah bergaduh di tempat awam, Ogos lalu. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Dua anggota tentera didenda oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tengah hari tadi, selepas mengaku bersalah bergaduh di tempat awam, Ogos lalu.

Tertuduh, Rimy Akie, 22, dan Shahrul Nizam Jauharan, 25, masing-masing didenda RM500 dan RM800. Pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di belakang stor Kuarter Master RSD Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, pada 8 malam, 18 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nazif Ezra Abdul Rahman dan beliau memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh supaya mereka insaf dan tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

Katanya, perbuatan tertuduh mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mereka anggota tentera di Kem Terendak.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam, bagaimanapun Rimy

merayu hukuman ringan kerana ini adalah kesalahan pertamanya manakala Shahrul Nizam tidak merayu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 4:19 PM